HomeGen AlphaAktivitiMansuh UPSR, PBS perlu diperkasa elak keciciran murid
164,827FansLike
4,964FollowersFollow
603FollowersFollow
17,100SubscribersSubscribe

Mansuh UPSR, PBS perlu diperkasa elak keciciran murid

Kebanyakan ibu bapa mahu supaya kerajaan membuat pemerkasaan dalam pentaksiran berasaskan sekolah (PBS) berikutan pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) supaya tiada murid yang tercicir dalam sistem pendidikan negara.

Rata-rata ibu bapa memberikan reaksi pelbagai terhadap keputusan kerajaan itu tetapi berharap ia adalah langkah paling tepat ketika ini, disaat negara masih bergelut menangani pandemik Covid-19 dan sesi persekolahan juga masih tidak menentu.

Seorang ibu yang juga guru sekolah rendah di Negeri Sembilan, Nina Haryani Mokhtardin, berkata beliau menerima keputusan itu dengan perasaan yang bercampur baur kerana pernah melalui pengalaman anak menduduki UPSR sebelum ini.

“Tahun ini pula sepatutnya seorang anak saya menduduki UPSR. Saya melihat peperiksaan ini sebenarnya sebagai pengalaman kepada anak-anak, selain menjadi kayu pengukur kesediaan mereka untuk memasuki sekolah menengah.

“Namun, ada kelegaan juga bila UPSR dimansuhkan kerana ia bermakna tiada lagi tekanan untuk membuat persediaan menduduki peperiksaan penting seperti sebelum ini,” katanya kepada GPS Bestari.

Dalam masa yang sama, Nina Haryani berharap meskipun tiada peperiksaan di peringkat kebangsaan, satu penilaian yang telus dan adil perlu ada bagi memastikan anak-anak dinilai sebaiknya untuk melihat pencapaian kemahiran dan pengetahuan sepanjang tempoh enam tahun pembelajaran di sekolah.

Petang tadi, Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin mengumumkan peperiksaan UPSR dimansuhkan sepenuhnya bermula pada tahun ini manakala Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) bagi tahun ini pula dibatalkan.

IKLAN

Pesara kerajaan, Nor Azlina Mohd, berkata mengambil kira keadaan terkini dimana murid-murid tidak mempunyai sistem pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang jelas berikutan pandemik Covid-19, pemansuhan UPSR itu adalah satu jalan yang boleh diterima pakai ketika ini.

“Penilaian berasaskan peperiksaan sebenarnya akan membantu murid menjadi lebih fokus tetapi kita akur dengan keputusan yang dibuat kerajaan kerana saya percaya ia dibuat selepas mengambil kira pandangan daripada semua pihak terlibat.

“Meskipun begitu, saya tetap berharap satu pentaksiran khusus boleh diperkasa untuk menilai tahap pencapaian akademik anak-anak sekali gus memberikan gambaran tahap penguasaan mereka apabila memasuki sekolah menengah kelak,” katanya.

Perkara itu turut dipersetujui pengusaha tadika, Nur Zarizah Abdullah yang mahu kerajaan menyediakan mekanisma khusus untuk menilai sejauh mana tahap penguasaan anak-anak bagi memastikan tiada keciciran berlaku dalam sistem pendidikan di negara ini.

IKLAN

“Saya tiada masalah dengan pemansuhan UPSR itu jika ia keputusan terbaik untuk anak-anak kita tetapi kerajaan tetap perlu membuat penilaian khusus bagi mengukur kebolehan murid supaya mereka mempunyai hala tuju dalam bidang akademik masing-masing,” katanya.

Gambar hiasan

 

IKLAN

Suri rumah, Suhaina Zali, turut bersetuju dengan keputusan kerajaan itu selepas mengambil kira sesi persekolahan yang tidak menentu kerana penularan jangkitan kes Covid-19 di institusi pendidikan termasuk sekolah.

“Dengan keadaan pandemik sekarang yang mana kelas sekejap ada sekejap perlu mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dari tahun lepas, jadi langkah ini agak bertepatan kerana agak tidak adil untuk mereka yang tidak mempunyai kelengkapan untuk mengikuti pembelajaran di rumah.

“Pemansuhan ini menyebabkan murid, ibu bapa dan guru tidak lagi tertekan dalam membuat persediaan menduduki peperiksaan, boleh belajar dan mengajar tanpa rasa terbeban. Apabila tidak tertekan, bakat dan kemahiran lain juga akan lebih terserlah.

“Dalam pada itu, pemansuhan ini akan memberikan kesukaran untuk menentukan kemasukan sekolah ke peringkat menengah kerana ada aliran yang berbeza-beza. Jadi, murid dan ibu bapa perlu membuat pilihan tepat dalam memilih aliran sekolah mana yang mereka pilih berdasarkan minat masing-masing,” katanya.

Sementara itu, suri rumah, Norazween Harif pula tidak bersetuju dengan keputusan kerajaan memansuhkan UPSR kerana khuatir tiada kayu ukur khusus untuk menilai prestasi anak-anak selepas bersekolah selama enam tahun.

“Walaupun UPSR hanya peperiksaan di peringkat awal, tetapi ia adalah penggalak utama untuk pelajar menunjukkan prestasi dan memilih sekolah yang bagus untuk ke peringkat seterusnya,” katanya.

Artikel Berkaitan

MESTI BACA