Gerbang Aspirasi Generasi Mahir

HomeGen AlphaKeputusan SPM yang menyedihkan, namun ramai terkejut namanya jadi bualan dalam dunia...
165,358FansLike
4,980FollowersFollow
627FollowersFollow
17,100SubscribersSubscribe

Keputusan SPM yang menyedihkan, namun ramai terkejut namanya jadi bualan dalam dunia pendidikan. Hebatnya!

Sebut sahaja nama Cikgu Mohd Ridzuan Md Nasir, pastinya ramai yang mengenali beliau terutamanya dalam kalangan guru-guru di Malaysia.

Ini kerana, Cikgu Mohd Ridzuan adalah antara guru yang aktif dan berpengalaman dalam bidang kajian tindakan dan inovasi sejak tahun 2012 lagi.

Dek kehebatan dan kepakaran tersebut, beliau pernah mendapat pelbagai pengiktirafan di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa.

Di sebabkan itu jugalah tidak hairan apabila Cikgu Mohd Ridzuan telah dilantik sebagai Jurulatih Utama Kajian Tindakan dan Inovasi eDidik Malaysia pada 2018 dan menerima pelbagai anugerah antaranya Anugerah Emas Pertandingan The Teachers Innovation (T-NOVATE) peringkat antarabangsa (IUCEL 2018); tempat ke-2 Pertandingan Cabaran Inovasi Inklusif Berimpak Tinggi Zon Sarawak 2019 anjuran Yayasan Inovasi Malaysia dan SME Corp Malaysia; Edufluencer PADU, KPM 2019 dan 50 peserta terbaik Kempen Guru PAK 21, KPM 2019.

Cikgu Mohd Ridzuan yang kini mengajar subjek bahasa Melayu dan Pengajian Am, Tingkatan Enam di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ismail Petra, Kota Bharu berkata, kejayaan yang dikecapi sekarang bukan sesuatu yang mudah.

“Saya bukan dilahirkan bijak satu ketika dulu. Masa keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diumumkan, saya tidak memperoleh sebarang A. Memang sedih dan down sangat.

“Tapi itulah, kegagalan kita dahulu bukan bermakna yang kita akan gagal selama-lamanya.

“Setiap orang kena bangkit demi meraih masa depan yang cerah dan cemerlang kelak,” katanya kepada GPSBestari.

Sebagai pembakar semangat untuk pelajar dan juga guru-guru, Cikgu Mohd Ridzuan kongsikan kisah hidupnya sebelum ini yang pasti membuatkan ramai terkejut dan tidak percaya.

Jom kita baca suka duka perjalanan guru hebat ini yang pastinya mampu memberi inspirasi kepada semua

IKLAN

*****

Musim SPM datang lagi. Teringat kisah dulu-dulu. Perasaan sewaktu mengambil keputusan SPM masih saya ingat. Saya bukan budak pandai. Keputusan SPM tidak ada A ‘sebiji’ pun. Tidak ditawarkan masuk mana-mana universiti masa itu. Last-last terima tawaran diploma di politeknik.

Keputusan diploma setiap semester tidak pernah dapat tiga (3) point. Semester akhir hanya dapat 2.75. Lepas itu minta kerja tidak ada siapa hendak terima. Mungkin sebab tiada ‘pakej’. Masa itu pun tiada niat hendak sambung degree sebab rasa macam kita tidak pandai.

Lepas diploma, pernah kerja macam-macam. Pernah kerja pam minyak dan jurujual dekat supermarket. Pernah juga jadi jurujual racun serangga di syarikat pest control. Bertahan beberapa bulan sahaja.

Baca juga Pemakaian pelitup muka, guru dan pelajar boleh guna 2 jenis yang disarankan ini

IKLAN

Baca juga Panduan penggunaan ubat secara selamat, para guru mesti tahu

Selepas itu dapat kerja kerajaan jadi kerani di sebuah hospital yang masa itu, dapat gaji level SPM, RM800. Orang pandang sebelah mata saja.

Kalau ingat semula rasa macam hendak menangis. Masa itu baru saya sedar bahawa tahap pendidikan sangat penting kalau hendak ‘berjaya’ pada pandangan mata masyarakat.

Selepas satu tahap, saya tidak tahan dengan iklim kerja ketika itu. Saya cuba mohon sambung ijazah sarjana muda di UPSI. Permohonan kali pertama tidak lulus. Kakak saya nasihatkan buat rayuan. Alhamdulillah, rayuan diterima. Tapi selalu juga kena perli dengan budak-budak yang first intake.

Kononnya kita ini hanya pelajar yang datang dengan tiket rayuan. Bukannya betul-betul layak. Selalu jadi isu. Tapi semua itu saya tidak peduli. Yang negatif saya letak tepi. Saya berjanji dengan diri sendiri dan berazam mesti belajar bersungguh-sungguh. Saya tidak mahu lagi duduk di tempat yang masyarakat asyik rendah-rendahkan saya.

IKLAN

Sewaktu di universiti, saya pernah beberapa kali dapat anugerah dekan. Akhirnya saya grad dengan pointer 3.45. Tu pun saya bersyukur sangat.

Selepas konvokesyen dan lulus temuduga, akhirnya saya menjadi seorang guru. Syukur yang tidak terhingga.

Selepas jadi guru, saya jadi semakin cintakan ilmu. Tambahan pula saya terpaksa mengajar subjek bukan opsyen. Semangat untuk terus belajar dan meningkatkan potensi diri sangat kuat.

Saya cuba mohon sambung ijazah sarjana (master) di bawah tajaan KPM, alhamdulillah, rezeki berpihak pada saya.

Pengajian master ditaja sepenuhnya oleh kerajaan tanpa saya perlu mengeluarkan satu sen pun.

Tanggal 28 Oktober 2019, saya sekali lagi berkonvokesyen untuk menerima ijazah sarjana di UNIMAS. Tamat dengan cemerlang dalam tempoh dua tahun. Hajat untuk sambung PhD itu ada. Insya-ALLAH tunggu masa yang sesuai. Doakanlah saya.

Sedikit nasihat daripada saya; berusahalah, kamu pasti berjaya. Hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih. Kejayaan pasti akan jadi milik kita andai kita menginginkannya dan ingatlah, tidak ada yang akan gagal selamanya. Walaupun pada awalnya kita tidak bermula dengan baik, tidak semestinya pengakhiran kita juga tidak baik. Jadilah seseorang yang bukan biasa-biasa.

Ikuti juga kami di:
Instagram: https://www.instagram.com/gpsbestari/
Twitter: https://twitter.com/GPSBestari
Youtube: https://www.youtube.com/c/GPSBestariOfficial/

Kesimpulannya, tiada A dalam SPM tidak semestinya awak gagal dalam kehidupan.
Yang penting jangan berhenti belajar dan berusaha. Mohonlah doa daripada ibu bapa. Sesungguhnya doa mereka untuk anak-anak pasti dimakbulkan. Teruslah melangkah ke hadapan.

Artikel Berkaitan

MESTI BACA