Gerbang Aspirasi Generasi Mahir

HomeGen Alpha"Doakan saya diberi kesihatan dan kekuatan untuk terus berkhidmat dengan cemerlang"
165,358FansLike
4,980FollowersFollow
627FollowersFollow
17,100SubscribersSubscribe

“Doakan saya diberi kesihatan dan kekuatan untuk terus berkhidmat dengan cemerlang”

“Bekerja bukan kerana anugerah, sebaliknya bekerjalah sampai diberi anugerah,” demikian kata Guru Cemerlang Sekolah Menengah Kebangsaan Jerlun, Kedah, Cikgu Norhailmi Abdul Mutalib.

Beliau yang baru sahaja menerima Anugerah Princess Maha Chakri 2021, 9 November lalu berkata, perjalanan selama 15 tahun dalam dunia pendidikan telah banyak mengajarnya tentang pelbagai perkara, baik daripada sudut positif atau sebaliknya.

“Apa sahaja yang berlaku sepanjang menjadi guru, saya pandang dan terima dengan hati terbuka, malah saya akan terus berkhidmat dalam bidang ini walaupun masih berbaki 20 tahun lagi untuk bertugas sebagai cikgu.

“Doakan saya diberi kesihatan, kekuatan dan teruslah memberi sokongan untuk saya buat yang terbaik pada pendidikan kita. Tanpa anda semua, mana mungkin saya boleh berjaya seperti hari ini,” kata Cikgu Norhailmi.

Sambungnya lagi, banyak pertanyaan yang dia terima mengenai kerjaya sebagai guru dan apa yang mahu dicapai lagi.

“Jika anda tanya saya, apa yang hendak dicapai lagi dalam dunia pendidikan…saya sendiri pun tiada jawapan. Laluan mana yang ALLAH sudah tentukan, saya berserah saja. Saya janji akan cuba buat yang terbaik, itu saja yang mampu diucapkan,” tuturnya lanjut.

Baca juga “Tak pa anak-anak… Datang je ke sekolah. Tak ada cikgu marah”

Baca juga Idea bernas tiga pelajar ini tarik perhatian juri sehingga diumum sebagai pemenang. Betullah, rezeki tak pernah salah alamat!

IKLAN

Ditanya mengenai ‘rezeki’ menerima Anugerah Princess Maha Chakri 2021, ini kata Cikgu Norhailmi kepada GPSBestari.

“Saya terkejut namun dalam masa yang sama, sangat gembira dengan rezeki yang ALLAH berikan ini.

“Anugerah ini akan menjadi pembakar semangat untuk terus mendidik anak bangsa menjadi insan yang berjaya kelak,” katanya dengan menitip pesanan pada warga guru iaitu berbuat baiklah kepada sesiapa sahaja, bersungguhlah dalam apa yang diusahakan dan sentiasa buat yang terbaik tanpa memgharapkan sebarang anugerah yang menanti kemudian hari.

Anugerah Princess Maha Chakri 2021 adalah anugerah peringkat antarabangsa yang diberikan oleh kerajaan Thailand kepada guru sekolah dari negara anggota SEAMEO yang berdedikasi dan menunjukkan pencapaian istimewa dalam bidang perguruan.

IKLAN

Sisi peribadi Cikgu Norhailmi

Cikgu Norhailmi merupakan anak jati Perlis yang mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan (SK) Datuk Ahmad Musa (1988 – 1993) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Arau (1994 – 1998).

Beliau kemudiannya melanjutkan pelajaran dalam bidang Sains Kimia di Universiti Sains Malaysia (UUM) (1999 – 2005), sebelum menimba pengalaman sebagai guru Sains dan Kimia di SMK Luar Bandar No.1 Sibu Sarawak (2007 – 2014) selama lapan tahun.

Cikgu Norhailmi yang kini berkhidmat di SMK Jerlun, Kedah, (2015 – sekarang) sebagai Guru Cemerlang Sains, aktif berkongsi amalan terbaik Pembelajaran Abad ke-21 (PAK21) dan STEM dalam bilik darjah menerusi blognya, www.cikguhailmi.com (sejak 18 November 2012) dengan lebih 500 siri ceramah dan bengkel di seluruh negara bagi meningkatkan kualiti pengajaran guru.

Antara pencapaian beliau adalah Agent for National Transformation 2014 oleh SKMM; Ikon Guru STEM Kebangsaan 2017; Naib Johan Guru Adiwira PAK21 anjuran PADU dan Guru Adiwira Kebangsaan 2019.

IKLAN

Beliau aktif dengan penyertaan antarabangsa, termasuk pertukaran guru Malaysia ke Korea pada tahun 2015 di Daegu Girls Commercial High School.

Juga aktif sebagai fasilitator bagi Bengkel STELR STEM Bandung, Indonesia, pembentang best practises bagi Seminar SSAEM 2016 di Seoul dan peserta program angkasa guru antarabangsa bersama NASA di US Space and Rocket Center, Amerika Syarikat.

Pada September 2018, beliau dinobatkan sebagai Malaysia Best Science Teacher oleh SEAMEO bagi Anugerah Ki Hajar Dewantara Award 2018 di Bali, Indonesia.

2019 beliau melakar sejarah sebagai guru Malaysia pertama yang terpilih bagi mengikuti kursus guru antarabangsa di CERN, Pusat Nuklear Eropah di Geneva, Switzerland.

Ikuti juga kami di:
Instagram: https://www.instagram.com/gpsbestari/
Twitter: https://twitter.com/GPSBestari
Youtube: https://www.youtube.com/c/GPSBestariOfficial/

Kemuncak kejayaan bila Cikgu Norhailmi disenaraikan sebagai Finalis Top 50 bagi Anugerah Guru berprestij, Global Teacher Prize 2020 oleh Varkey Foundation yang berpusat di London pada Mac 2020.

Tahun 2021 pula beliau terpilih mewakili Malaysia sebagai penerima Anugerah Princess Maha Chakri 2021 dari kerajaan Thailand bersama 10 guru dari negara ASEAN.

GPSBestari mengucapkan tahniah dan selamat maju jaya kepada Cikgu Norhailmi. Semoga terus berkhidmat dengan lebih cemerlang nanti.

Artikel Berkaitan

MESTI BACA