Gerbang Aspirasi Generasi Mahir

HomeGen AlphaCikgu Salbiah kongsi 10 pesan abah yang sangat menyentuh hati. Tak sangka,...
165,358FansLike
4,980FollowersFollow
630FollowersFollow
17,100SubscribersSubscribe

Cikgu Salbiah kongsi 10 pesan abah yang sangat menyentuh hati. Tak sangka, arwah disayangi ramai kerana ‘perkara ini’. Warganet sebak!

Hampir tiga bulan mantan Pengarah Institut Pendidikan Guru (IPG) Kota Bharu, Allahyarham Mohamed Salleh Hussain meninggal dunia.

Dalam tempoh tersebut, masih ramai yang menangisi pemergian arwah ‘abah’ termasuklah isteri, Khatijah Mohd dan sembilan orang anak-anaknya.

Arwah beruntung kerana semua anak-anaknya bergelar pendidik.

Arwah abah bersama ma.

Yang sulung bernama Cikgu Norhana Mohamed Salleh (Sekolah Menengah Sains (SMS) Tengku Abdullah Raub, Pahang) diikuti Cikgu Norasma (Guru Cemerlang Bahasa Melayu SMS Pasir Puteh, Kelantan); Cikgu Mohd Ariff (Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Pak Amat, Pasir Puteh, Kelantan); Cikgu Solihah (Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rawang, Selangor) dan Cikgu Salbiah (Guru Cemerlang Pendidikan Islam SMS Pasir Puteh, Kelantan).

Seterusnya, Cikgu Mohd Fadli (SK (1) Gombak, Selangor); Cikgu Nur Afifah (SK Taman Seri Gombak, Selangor); Cikgu Ahmad (SMS Tengku Mohamad Faris Petra, Kelantan) dan yang bongsu, Cikgu Siti Faizah (SK Taman Desa 2, Rawang, Selangor).

Arwah abah dan ma bersama sembilan anak-anak yang kini bergelar pendidik.

Alhamdullilah, anak-anak arwah abah dan ma, semuanya berjaya dan telah dijadikan ikon dan rujukan ramai.

Wartawan GPSBestari menghubungi salah seorang anak ‘abah’ iaitu Cikgu Salbiah dan bertanyakan personaliti arwah yang sangat dikagumi semua peringkat usia.

“Arwah abah meninggal 30 Jun lalu. Beliau seorang yang sangat bersederhana dalam semua perkara. Terlalu pentingkan ilmu dan pendidikan dan amat kagum serta bersemangat dalam bidang keguruan.

Baca juga Inspirasi buat para pelajar, 6 syarikat yang terkenal ini bermula dari garaj 

Baca juga 8 Aplikasi yang boleh membantu anda menjadi seorang pelukis

“Abah seorang bapa yang penyayang dan sangat bertanggungjawab. Arwah cakna bukan sahaja kepada keluarga tapi juga kepada masyarakat sekeliling. Kerana itu, kehilangan abah bukan sahaja dirasai oleh keluarga tetapi semua masyarakat,” kata Cikgu Salbiah sebak.

Tambah guru ini lagi, Pertubuhan Dana Kita yang diasaskan Cikgu Mohd Fadli merupakan inspirasi daripada abah.

“Sejak berpuluh tahun lamanya abah telah menginfaqkan barangan keperluan asas kepada anak yatim, ibu tunggal dan asnaf di kampung.

“Daripada cara abah ini, tercetuslah Pertubuhan Dana Kita,” jelasnya.

Sebelum ini, portal GPSBestari pernah menyiarkan artikel berkenaan ‘Sembilan beradik jiwa pendidik – Warisi ketokohan guru daripada ibu dan bapa yang menjadi contoh terbaik sejak kecil’.

Dalam artikel tersebut, arwah abah ada memberitahu bahawa bidang perguruan merupakan satu pekerjaan penting dan mulia kerana mereka adalah model kepada anak didik dan masyarakat setempat.

Antara senarai akaun untuk sumbangan setiap bulan. Anak-anak terjumpa senarai ini dalam beg duit abah, patutlah abah sentiasa ‘lama’ berada di hadapan mesin ATM setiap bulan. (Catatan : Ada antara sumbangan ke akaun ini, pembinaannya sudah siap).

Ma iaitu Khatijah pula, bukanlah seorang cikgu tetapi beliau adalah guru mengaji al-Quran di kampung.

Ma tidak pernah merungut keletihan tetapi sentiasa istiqamah memberikan didikan ilmu dunia dan juga akhirat.

IKLAN

Kerana keperibadian dan personaliti yang dimiliki oleh insan bernama Mohamed Salleh ini, GPSBestari tertarik dengan posting berkaitan Pengurusan Kewangan Abah yang ditulis oleh Cikgu Salbiah.

‘Ada 10 pesan abah yang akan kami semat di hati hingga mati’, demikian tulis beliau dalam hantaran Facebooknya 9 Julai lalu.

Sehubungan itu, kami senaraikan pesanan abah yang mungkin boleh dijadikan panduan buat semua.

Semoga perkongsian ini memberi manfaat pada pembaca.

*****

1) Kita perlu bijaksini (bijak mengatur urusan di dunia) dan bijaksana (bijak mengatur urusan akhirat). Bila kerja, sisihkan duit untuk sedekah. Rugi besar orang tidak sedekah. Gaji bulanan hanya guna untuk diri sendiri saja, rugi! Kerja hanya dapat penat sahaja tapi akan lelah di alam sana.

2) Jangan beri hanya lebihan duit bulanan untuk ma dan abah. Dahulukan duit untuk ma abah setiap bulan. Beri tanpa henti setiap bulan. Walaupun kami dah ada duit, tapi bagilah ibu bapa merasa duit gaji anak-anak. Situlah barokah duit anak-anak. Bab duit gaji ni, seingatku setiap kali gaji, abang, Mohd Ariff tidak akan berbelanja atau pulang ke rumah sehinggalah duit bulanan diserahkan kepada ma abah.

Kata Abah…

“Jangan sampai bila ma abah tiada, anak-anak akan menyesal sebab tiada tempat lagi untuk dikongsi keseronokan. Gaji makin besar tapi kegembiraan makin kurang”

IKLAN

3) Setiap bulan simpan duit dalam Tabung Haji. Potong gaji secara istiqamah. Setiap kali naik gaji, tambah simpanan Tabung Haji. Jangan anggap naik gaji itu lesen untuk bermewah-mewah. Hiduplah secara sederhana sahaja. Duit di bank ini guna sekiranya kecemasan atau nak beli apa-apa aset dan waqaf. Inilah harta sebenar kita.

4) Mesti niat nak bawa keluarga pergi haji atau umrah. Simpanan khas untuk anak-anak RM30 sahaja sebulan. Bawa anak-anak pergi umrah bila dah baligh. Jangan bawa masa kecil sebab rugi anak-anak tidak faham apa dan boleh mengganggu ibadat kita.

5) Jangan kerap tukar kereta. Tanda awal kepapaan ialah tukar kereta. Beli kereta untuk guna bukan untuk bergaya. Orang akan puji sekali saja kereta kita cantik bergaya. Yang menanggung diri kita sendiri sampai bila-bila.

Baca juga Berjaya pada usia muda, ini rahsia dua gadis universiti dalam perniagaan online 

Baca juga Ketagih permainan video? Pakar perubatan keluarga kongsi jalan penyelesaiannya

6) Pelbagaikan sedekah bulanan kita. Beri makan, beri keperluan, sedekah kepada orang tua, kanak-kanak dan orang gila juga. Kalau ada masjid dalam pembinaan, masukkan duit bahagian kita. Akhir-akhir usia, abah banyak pergi pondok ke pondok untuk bina pondok orang tua dan pelajar.

7) Usaha untuk mencari siapa memerlukan sumbangan, masjid mana dalam pembinaan. Setiap bulan, deretan akaun sumbangan ada dalam list abah. Abah akan ke ATM dibawa anak-anak untuk agihkan kepada yang memerlukan. Abah memberi tidak banyak tapi istiqamah. Abah tak suka longgokkan kepada satu badan atau individu sahaja, tapi biarlah sedekah kita itu ramai akan merasa walau sedikit.

8) Gembirakan kanak-kanak. Bila jumpa bagi duit. Tegur kanak-kanak, raikan kewujudan mereka. Bila hari raya atau pergi Mekah beli coklat untuk kanak-kanak. Bila besar, kanak-kanak ini akan ingat. Kasih sayang itu akan dipupuk hingga tua.

IKLAN

Cikgu Salbiah (kiri) bersama arwah abah dan ma.

9) Kalau makan di kedai, jadilah orang yang akan bayar dan belanja kawan-kawan atau keluarga makan. Besar pahala bagi orang makan. Abah tak akan masuk makan di kedai kalau duit sikit. Abah cukup susah hati kalau masuk kedai, ada kenalan tapi abah tak dapat bayarkan.

10) Apabila buat kebajikan, niatlah pahala kebajikan untuk orang tua yang sudah tiada. Mereka tertunggu-tunggu pahala dan doa dari anak-anak yang masih hidup.

Selama 74 tahun usia abah…

Dengan bekerja hanya seorang diri.

Membesarkan anak sembilan orang.

Tapi kami dapat menyaksikan bagaimana disiplin abah menguruskan kewangan itu menjadikan rezeki yang dapat bukan hanya untuk kami sekeluarga.

Tapi untuk ummah secara keseluruhannya.

Terima kasih Allah.

Mendatangkan kami seorang insan yang banyak mendidik dan mengajar tentang ilmu kehidupan alam fana dan alam abadi di sana.

Sayang abah hingga ke syurga.

Ikuti juga kami di:
Instagram: https://www.instagram.com/gpsbestari/
Twitter: https://twitter.com/GPSBestari
Youtube: https://www.youtube.com/c/GPSBestariOfficial/

Di sini, disertakan link ebook keluarga yang diberikan secara percuma untuk tatapan semua.

https://online.anyflip.com/lgsi/xzlr/mobile/index.html

Ebook keluarga dan pesan ayahanda. Ebook ini dilancarkan Jun tahun lepas. Setahun sebelum pemergian abah

Artikel Berkaitan

MESTI BACA