Gerbang Aspirasi Generasi Mahir

HomeGen AlphaCikgu Dinnie, guru animasi berbakat yang makin dikenali ramai
165,358FansLike
4,980FollowersFollow
629FollowersFollow
17,100SubscribersSubscribe

Cikgu Dinnie, guru animasi berbakat yang makin dikenali ramai

“Sejak kecil lagi saya amat meminati bidang animasi cuma tidak tahu bagaimana untuk kembangkannya.

“Saya masih ingat lagi ketika di sekolah menengah, saya cuba menghasilkan animasi menggunakan flipbook. Saya conteng pada bahagian sudut buku log hingga jadi pergerakan animasi. Kadang-kadang saya pause animasi atau video di DVD player dan kemudian tiru dan lukis balik di buku. Ada juga rakan yang upah untuk buat animasi pendek di buku mereka,” kata Cikgu Wan Zulfadli Ad-Dinnie Wan Azmi (Cikgu Dinnie), 30, yang kini mengajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Temong, Serian, Sarawak.

Kerana minat yang mendalam terhadap animasi, guru kelahiran Terengganu ini gigih mencari ilmu berkaitan di luar sana.

“Ramai yang mengikuti pelbagai kursus di pusat pengajian terpilih tetapi saya tidak. Saya belajar sendiri menerusi tutorial Corel Painter di YouTube, pembacaan di internet dan perkongsian bersama rakan-rakan animasi yang lain,” katanya yang pernah terlibat sebagai fasilitator dan penyampai slot untuk bengkel Digital Storytelling Animation.

Cikgu Dinnie berkata, di SK Temong, terdapat pasukan animasi yang terdiri daripada guru-guru dan murid-murid terpilih.

“Saya bersama Cikgu Mohd Reduan Patah bertanggungjawab mencari bakat murid dalam bidang ini.

IKLAN

“Setakat ini, kami mempunyai sekumpulan murid yang sangat berbakat antaranya Nabiatul Dania Zulfiqa dan Macgres Sawet. Masing-masing pernah menyertai pertandingan antarabangsa sebelum ini,” ujarnya.

Sesi fotografi pasukan animasi SK Temong, dari kiri Cikgu Dinnie, Macgres, Nabiatul Dania dan Cikgu Mohd Reduan.

Tambah beliau, setakat ini penerimaan muridnya terhadap animasi memang luar biasa.

“Mereka meminati animasi terutamanya kartun di televisyen seperti Upin Ipin, Didi & Friends dan Boboiboy. Dan mereka menjadi semakin teruja selepas melihat wajah sendiri menjadi watak animasi.

“Di awal pembabitan mereka mungkin agak lambat tetapi selepas beberapa sesi latihan, mereka sudah semakin faham dan dengan mudah dapat menghasilkan animasi. Perasaan puas muncul selepas lihat hasil warna dan lukisan dalam bentuk animasi,” katanya.

Ditanya tentang teknik yang digunakan sepanjang penghasilan semua animasi itu, ini kata cikgu yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan IPG Kampus Ilmu Khas, Cheras, Kuala Lumpur.

IKLAN

“Saya guna teknik rotoscope. Secara asasnya, teknik ini memerlukan rakaman footage video terlebih dahulu sebelum ia ditekap secara frame by frame. Saya menyukai teknik ini kerana ia memberi kesan aneh dan terasing kerana realisme pada pergerakan di samping paparan karakter yang ringkas,” ujarnya.

Guru animasi berbakat

Cikgu Dinnie berkata, menjadi guru animasi yang berbakat dan berkemahiran, sememangnya memerlukan beberapa kriteria.

IKLAN

“Kita kena sentiasa berfikir di luar kotak. Sering mengkaji video dan animasi yang sedia ada, berani mencuba sesuatu yang baharu, rajin meneroka, sentiasa bereksperimen dengan gaya visual baharu, percaya pada rezeki dan ingat tiada perkara yang mustahil untuk berjaya,” katanya dengan menambah, sokongan isteri dan anak tercinta, Dayang Nur Hadziah Abang Saufi dan Wan Muhammad Hamizan adalah antara faktor kejayaannya  dalam bidang animasi.

Pernah mengajar di SK Sangan Iban, Tatau, Sarawak, Cikgu Dinnie berkata, seperti orang lain, dia turut mempunyai idolanya sendiri.

“Satoshi Kon, Hayao Miyazaki, Ralph Bakshi, Hassan Muthalib dan Usamah Zaid adalah antara idola yang saya kagumi. Karya mereka sangat unik, luar biasa dan kreatif terutama daripada segi visual transisi dan suntingan,” jelasnya.

Akhir sekali, beliau menasihati pendidik dan pelajar yang berminat menceburi bidang animasi agar terus meneroka bidang ini kerana ia semakin berkembang maju.

“Kita selalu tengok filem orang, jadi bila lagi nak tengok filem sendiri. Jom hasilkan animasi dan buktikan kita sebagai rakyat Malaysia, boleh!” katanya.

INFO

Animasi dihasilkan pasukan SK Temong

  • Hana (2017), Cikgu Hana (2018), Hana-B (2019) dan Batuh Bijanji (2019
  • Batuh Bijanji telah menggondol anugerah ‘Best Film By Popular Jury’ pada Festival de Cinema Escola de Alvorada (Fecea), Brazil.
  • Pasukan animasi pendek ini terdiri daripada Cikgu Dinnie, Cikgu Mohd Reduan, Nabiatul Dania, Macgres dan Wan Muhammad Adam Dani Wan Azmi (selaku pemuzik).

Artikel Berkaitan

MESTI BACA