Gerbang Aspirasi Generasi Mahir

HomeGen AlphaBosan belajar sendiri, ikuti 5 tip yang dikongsi ini
165,358FansLike
4,980FollowersFollow
630FollowersFollow
17,100SubscribersSubscribe

Bosan belajar sendiri, ikuti 5 tip yang dikongsi ini

Penutupan sekolah ketika ini berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan menyebabkan ramai pelajar melalui proses belajar sendiri di rumah tanpa bersemuka bersama guru dan rakan-rakan.

Justeru, pelaksanaan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) membantu proses menuntut ilmu diteruskan secara maya.

Konsep belajar sendiri bermaksud proses di mana seseorang pelajar itu memperoleh ilmu pengetahuan baharu secara sendiri. Ini sesuai dengan peribahasa hendak seribu daya tak hendak seribu dalih.

Pokok pangkal pembelajaran sendiri bergantung sepenuhnya kepada kehendak diri untuk mengembangkan kemahiran dan sikap yang membolehkan mereka memberikan yang terbaik.

Sumber bahan belajar pula boleh didapati melalui pembacaan terutama buku teks, buku latihan dan nota yang diberikan oleh pihak sekolah.

Selain itu, pelajar juga boleh melayari internet untuk mencari bahan sokongan agar minda bebas berkembang dan berkemampuan belajar secara bebas.

IKLAN

Sebagai contoh dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, mereka boleh mendapatkan bahan-bahan bagi pemantapan tatabahasa, bina ayat, ulasan dan karangan melalui daya usaha sendiri.

Ibu bapa dan ahli keluarga juga memainkan peranan penting dalam mewujudkan suasana pembelajaran yang berterusan di rumah supaya dapat memupuk semangat untuk terus belajar dengan menyediakan bilik yang sesuai dan peranti bertepatan.

Ini kerana suasana tempat belajar itu memainkan peranan penting. Selain peranti dan alat tulis, pelajar turut memerlukan suasana yang sunyi serta bebas daripada gangguan ahli keluarga yang lain terutama adik-adik.

IKLAN

Memandangkan pelajar kini belajar di rumah dan hampir kebanyakan waktu perlu mengulang kaji bersendirian, minggu ini GPSBestari mendapatkan pandangan daripada guru mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah di Sekolah Kebangsaan Kenering, Gerik, Perak, Cikgu Ahmad Safarman Dollah, mengenai beberapa tip belajar sendiri yang boleh dimanfaatkan oleh pelajar.

1) Belajar berkumpulan di rumah
Pelajar boleh mengadakan pembelajaran bersama adik-beradik di rumah. Suasana begini akan menyuburkan minat untuk menelaah pelajaran. Ibu bapa juga perlu sentiasa menyokong hasrat ini setiap kali anak-anak sedang belajar. Inilah yang dinamakan teknik dan kaedah terbaik daripada ibu bapa dalam membantu anak-anak menempuh cabaran sukar sepanjang tempoh pandemik.

IKLAN

2) Belajar di perpustakaan
Belajar sendiri juga boleh dibuat di perpustakaan bersama rakan-rakan (merujuk kepada situasi di luar tempoh pandemik). Sebagai contoh, pelajar boleh mencari tempat yang sesuai untuk belajar seperti di perpustakaan, pondok, pekarangan masjid dan taman. Ini akan mewujudkan kelainan suasana belajar sekali gus berkongsi pendapat bersama rakan-rakan.

3) Guna gajet untuk belajar
Gajet yang ada digunakan secara bermanfaat. Pelajar boleh melayari internet untuk mencari bahan sokongan. Kesannya, pembelajaran kendiri akan menjadi lebih seronok. Penggunaan gajet ini membantu perkembangan minda pelajar dan memudahkan sesi interaksi bersama rakan-rakan terutama ketika tempoh pandemik.

4) Mengikuti kelas tuisyen
Pelajar juga boleh mengikuti tuisyen kerana di situ mereka berpeluang mempelajari teknik dan teori baharu dalam pembelajaran. Maklum sahajalah lain guru lain caranya. Sekurang-kurangnya pelajar dapat mengikuti suasana pembelajaran lain daripada kebiasaan serta mendapat kawan-kawan baharu sehingga mereka mampu mencapai objektif di dalam belajar.

5) Sedia kelengkapan khas untuk anak-anak
Sebagai ibu bapa yang prihatin tentang kepentingan menuntut ilmu dalam kalangan anak-anak mereka, adalah wajar disediakan semua kelengkapan khas untuk mereka. Antara kelengkapan yang boleh disediakan termasuklah bilik yang selesa, gajet dan bahan sokongan lain seperti buku rujukan atau latihan yang bersesuaian. Bagi ibu bapa yang berkemampuan, boleh membeli buku-buku secara dalam talian untuk anak-anak.

Artikel Berkaitan

MESTI BACA