Gerbang Aspirasi Generasi Mahir

HomeGen AlphaAnimasi gerak henti dapat pujian. Rupa-rupanya ini yang dilakukan guru dan murid...
165,358FansLike
4,980FollowersFollow
627FollowersFollow
17,100SubscribersSubscribe

Animasi gerak henti dapat pujian. Rupa-rupanya ini yang dilakukan guru dan murid SK Dato’ Wan Kemara

“Animasi gerak henti atau gerak pegun (stop motion) adalah satu teknik animasi untuk membuatkan suatu objek yang dimanipulasi secara fizikal kelihatan bergerak dengan sendirinya. Ia boleh dilakukan dalam 2D ataupun 3D dengan penggunaan tanah liat dan juga objek-objek seperti botol, objek alam, kertas mahupun manusia.

Menurut guru pakar animasi, Sekolah Kebangsaan (SK) Dato’ Wan Kemara, Changlun, Kedah, Cikgu Mohammad Hashim, animasi gerak henti biasanya dirakam dengan menggunakan kamera digital dan hasilnya sejumlah gambar yang mempunyai pautan antara pergerakan terhasil.

“Apabila setiap gambar itu disusun secara teratur, satu ‘pergerakan’ akan terbentuk dan terjadilah sebuah pergerakan gerak henti,” katanya.

Pada peringkat permulaan penghasilan animasi gerak henti, Cikgu Mohammad dengan dibantu Cikgu Mohamad Hilmi Saifuddin memilih murid yang berbakat untuk melatih mereka menggunakan teknik 2D.

“Murid-murid melukis semua watak dalam cerita ‘The Tortoise and The Rabbit’ yang dipilih  sebagai projek animasi pertama.

Perbincangan antara Cikgu Mohamad Hilmi (kanan) dan Cikgu Bawani berkenaan penghasilan dan pergerakan watak-watak animasi untuk dimasukkan dialog.

“Kemudian mereka perlu menyediakan meja yang dijadikan green screen sebagai pentas dan memastikan cahaya cukup terang. Peralatan seperti kain hijau, telefon bimbit, lampu, perisian ‘stop motion studio’, komputer dengan perisian Filmora dan lain-lain perlu dalam keadaan yang lengkap.

“Kami mengambil masa selama tiga hari untuk rakam pergerakan arnab dan kura-kura.

“Untuk peringkat awal, gambar yang diambil haruslah melebihi 20 frame per saat.  Memang kita mengharapkan murid dapat menghasilkan lebih 30 frame per saat tapi bimbang mereka akan cepat bosan sebab pergerakan terlalu lambat. Jadi, kita beri peluang murid-murid guna tidak kurang 20 frame per saat dulu dan projek seterusnya kita cuba menepati lebih 30 frame per saat,” katanya.

IKLAN

Seterusnya jawatankuasa pembimbing akan melihat hasil kerja yang dihasilkan dan memberi khidmat nasihat untuk pengubahsuaian dan penambahbaikan.

Untuk projek tersebut, lapan murid telah terpilih dan diagih tugas dalam menyiapkan projek tersebut. Mereka ialah murid-murid Tahun Enam Syazwina Bakri Noor Huda, Muhammad Fahmi Mohd Zaini, Nurmedina Sofea Zamri, Alif Khusyairi, Nurmarisa Sumayya Zamri (Tahun Lima),  dan Ahmad Sibghotallah (Tahun Empat).

Manakala guru-guru yang melatih pula terdiri guru berpengalaman luas iaitu Cikgu Huda Ishak, Cikgu Bawani Subramaniam dan Cikgu Mohamad Hilmi.

Cabaran dan kos

Cikgu Mohammad berkata, cabaran dalam menghasilkan projek animasi tersebut adalah kekangan masa dan tidak dapat melatih secara bersemuka.

“Kita memahami situasi pandemik Covid-19 hari ini. Kerana itu, apabila tidak dapat bersemuka dengan murid, agak sukar untuk membimbing mereka.

IKLAN

“Selain itu kami juga terpaksa menggunakan peranti sendiri dan meneroka sendiri cara menghasilkan animasi kerana pendedahan tentang projek animasi tidak diberikan kepada guru-guru di sekolah rendah,” katanya.

Perancangan akan datang, pasukan animasi sekolah bakal menghasilkan filem pendek Animasi Story Telling 2021 menggunakan 2D iaitu ‘Sang Semut dan Katak’.

Antara watak animasi yang bakal dihasilkan.

Akhir sekali, Cikgu Mohammad menitipkan sedikit nasihat untuk guru dan murid yang sangat meminati dalam animasi.

“Animasi adalah satu projek yang baharu dan tidak banyak lagi penerokaan dibuat di sekolah.

“Mungkin sekolah beranggapan industri animasi sudah lama tetapi di sekolah rendah tidak ramai guru-guru yang mahir dalam bidang ini. Penerokaan dalam bidang ini sangat perlu kerana ia sangat membantu murid yang pasif mengembangkan bakat mereka.

IKLAN

“Pihak sekolah dan guru-guru perlu mengambil inisiatif sendiri untuk berkorban masa membuat penerokaan dalam bidang ini. Kos yang diperlukan tidak banyak kerana terdapat banyak aplikasi yang telah dibangunkan dalam internet, tetapi kekangan masa untuk mempelajari kemahiran tersebut adalah satu halangan yang perlu ditembusi. Pihak pentadbir sekolah perlu memainkan peranan menyediakan kos dan skim galakkan untuk penerokaan bidang animasi ini,” ujarnya.

INFO

Antara pertandingan dan pencapaian sekolah dan pasukan animasi SK Dato’ Wan Kemara

1) Digital Animation Story #kitajagakita (Tempat ketiga Negeri Kedah)

2) Digital Animation Story ‘Budi Baik Indah Bahasa’ (Johan Animasi Daerah Kubang Pasu).

3) Awal tahun 2021, menyertai tiga pertandingan video pendek dengan tiga kategori berbeza. Kategori Sekolah Rendah Tahap 2, Kategori Sekolah Rendah Tahap 1 dan Kategori Sekolah Rendah (Pendidikan Khas).

4) Animated Story Telling Competition National Level mewakili negeri Kedah ke peringkat Kebangsaan (Stop Motion)

 

Artikel Berkaitan

MESTI BACA