Gerbang Aspirasi Generasi Mahir

HomeGen AlphaAnak-anak gagal kuasai 3M? Ibu bapa boleh ikuti saranan ini untuk bantu...
165,358FansLike
4,980FollowersFollow
630FollowersFollow
17,100SubscribersSubscribe

Anak-anak gagal kuasai 3M? Ibu bapa boleh ikuti saranan ini untuk bantu atasi masalah berkenaan

Baru-baru ini kita dikejutkan dengan beberapa kenyataan akhbar yang mendakwa kanak-kanak di sekolah rendah dan prasekolah mengalami masalah 3M iaitu membaca, menulis dan mengira.

Masalah membaca membimbangkan semua pihak, bukan sahaja di prasekolah malah juga di sekolah rendah.

Dikhuatiri murid Tahun 1 dan 2 di sekolah rendah juga ramai yang tidak dapat menguasai 3M terutama sekali membaca.

Jika keadaan ini berterusan implikasinya sangat besar sekali gus mengganggu perkembangan holistik kanak-kanak.

Penyelidikan membuktikan kegagalan membaca kanak-kanak dalam usia 7 dan 8 tahun menyebabkan perkembangan kognitif mereka terganggu.

Pelbagai kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dilakukan oleh pihak sekolah namun keberkesanannya masih berada pada tahap yang minimum.

Kita tidak boleh menuding jari dengan menyalahkan pihak sekolah atas kegagalan ini, juga bukan ingin menyalahkan pihak ibu bapa.

Sebaliknya kita perlu mencari penyelesaian bersama antara pihak sekolah dan ibu bapa dalam membantu anak-anak menguasai kemahiran membaca.

Gambar hiasan daripada Pexels.

Mungkin kita terlepas pandang sebelum ini bahawa PdPR sesuai untuk semua. Sebenarnya mengajar kanak-kanak dalam usia 4 hingga 8 tahun amat berbeza jika dibanding dengan pelajar sekolah menengah.

Ini bermaksud satu kaedah tidak sesuai untuk semua seperti satu saiz untuk semua, begitulah dengan kanak-kanak. Kita kena melihat prinsip pengajaran kanak-kanak, antaranya;

a) Pembelajaran berasaskan bahan maujud.
b) Belajar melalui lima deria iaitu visual (lihat), bunyi (dengar), rasa, sentuhan dan hidu.
c) Fleksibel pengajaran dan pembelajaran yang dirancang boleh diubah suai mengikut keperluan situasi masa, teknologi, cuaca, konteks dan sebagainya.

IKLAN

Jadi dalam PdPR perlu dilihat prinsip-prinsip ini. Berdasarkan temu bual ibu bapa, mereka menyedari situasi berkenaan dan mencadangkan supaya mewujudkan smart partnership atau kerjasama pintar antara ibu bapa dan guru untuk mengajar kanak-kanak membaca.

Gambar hiasan daripada Pexels.

Antara cadangan adalah seperti berikut:

1) Kerjasama Ibu bapa dan Guru – Menyediakan panduan kepada ibu bapa dalam mengajar membaca

Kerjasama yang baik antara ibu bapa dan pendidik dapat membantu menyelesaikan masalah tidak menguasai kemahiran membaca kanak-kanak di Tahun 1 dan 2 dengan menyediakan bahan pengajaran yang boleh digunakan oleh ibu bapa. Bukan sahaja kanak-kanak yang perlu diajar tetapi ibu bapa juga perlu ditunjukkan bagaimana cara mengajar anak-anak mereka membaca. Guru memerlukan ibu bapa sebagai pembantunya bagi memudah cara mengajar kanak-kanak membaca.

Kaedah membaca secara PdPR perlu dikuasai oleh ibu bapa bagi membantu mengajar anak-anak mereka membaca sepanjang proses PdPR. Sediakan bahan-bahan keperluan membaca kanak-kanak atau sediakan sumber untuk rujukan.
Bimbingan guru dan ibu bapa merupakan satu prinsip dalam pengajaran PdPR. Vygotsky percaya kanak-kanak harus belajar dengan bimbingan orang dewasa yang lebih berilmu. Ini dinamakan Vygotsky sebagai Scaffolding iaitu membina struktur bahasa kanak-kanak.

2) Libatkan ibu bapa dalam merancang, mengajar dan menilai aktiviti membaca kanak-kanak sepanjang PdPR

IKLAN

Guru dan ibu bapa bekerjasama menyediakan keperluan pengajaran bermula dari peringkat persediaan, pelaksanaan termasuk aktiviti dan peringkat susulan dan penilaian aktiviti membaca. Dengan mengambil kira beberapa aktiviti kemahiran membaca huruf, suku kata, perkataan, frasa dan ayat berdasarkan gambar dan tanpa gambar.

Di samping itu, kemahiran membaca petikan atau teks, cerita atau dialog. Tidak lupa juga penilaian kemahiran membaca dengan mengenal pasti idea keseluruhan dan mengesan keupayaan kanak-kanak dengan menjadikannya sebagai tanggungjawab bersama.

Gambar hiasan daripada Pexels.

Kenapa penting ibu bapa dalam konteks mengajar kanak-kanak di rumah?

Ibu bapa bukan sahaja membantu mengajar kanak-kanak, tetapi juga memperkukuh ingatan mereka tentang apa yang dipelajari.

Kanak-kanak belum mampu membaca nota kecuali bantuan ibu bapanya untuk mengulang apa yang dipelajari.

Sebagai contoh ingatan kanak-kanak pada hari pertama 100 peratus ingat apa yang dia telah pelajari dan kuasai.

IKLAN

Berdasarkan keluk lupaan, jika kanak-kanak tidak merujuk kepada nota, menelaah, membaca atau berbincang tentang apa yang dipelajari, pada hari kedua, 50 hingga 80 peratus pelajaran dari hari pertama akan hilang (dilupakan).

Menjelang hari ke-30 ingatan tentang pelajaran hari pertama hanya tinggal sekitar 2 hingga 3 peratus sahaja. Melalui kaedah menelaah atau mengulang kaji, otak boleh diarahkan untuk menyimpan sesuatu maklumat sebagai ingatan jangka panjang.

Semakin kerap mengulang kaji, semakin sedikit masa bagi otak untuk mengingat kembali maklumat yang diperlukan. Keluk lupaan boleh ditukarkan menjadi keluk ingatan.

Gambar hiasan daripada Pexels.

Akhir sekali, ibu bapa dicadangkan membantu anak-anak belajar melalui pengulangan aktiviti yang dicadangkan dengan membaca, menyanyi, atau bercerita.

Aktiviti-aktiviti melukis dan menulis juga adalah sebahagian daripada awal literasi. Melalui lagu-lagu atau zikir-zikir yang dinyanyikan oleh ibu bapa bersama anak-anak membantu memanjangkan ingatan mereka.

Melalui kaedah menelaah atau mengulang, otak boleh diarahkan untuk menyimpan sesuatu maklumat sebagai ingatan jangka panjang.

Semakin kerap ulangan berlaku, semakin sedikit masa bagi otak untuk mengingat kembali maklumat yang diperlukan. Keluk lupaan juga boleh ditukarkan menjadi keluk ingatan.

Di samping itu, ibu bapa boleh juga memastikan persekitaran pembelajaran bahasa di rumah selari dengan apa yang dipraktiskan di sekolah. Ingat, memperkembangkan bahasa dan komunikasi anak-anak bermula di rumah. Ibu bapa hanya memerlukan 15 hingga 30 minit untuk membaca bersama anak-anak.

Artikel oleh Pensyarah Kanan Jabatan Pendidikan Awal Kanak-kanak, Fakulti Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris Tanjong Malim, Perak, Prof Madya Dr Nordin Bin Mamat.

Artikel Berkaitan

MESTI BACA