HomeGen Alpha7 tip menarik mengajar Muzik dengan Murid Berkeperluan Khas secara dalam talian....
165,219FansLike
4,972FollowersFollow
619FollowersFollow
17,100SubscribersSubscribe

7 tip menarik mengajar Muzik dengan Murid Berkeperluan Khas secara dalam talian. Ini perkongsian Cikgu Stefanus

Siapa yang tergolong dalam Murid Berkeperluan Khas (MBK)? Apakah kategori dalam keperluan khas tersebut?

Merujuk kepada Peraturan-Peraturan Pendidikan (Pendidikan Khas) 2013, MBK ertinya kanak-kanak yang diperakukan oleh pengamal perubatan, ahli optik, ahli audiologi atau ahli psikologi mengikut mana-mana yang berkenaan sama ada dalam perkhidmatan kerajaan atau tidak sebagai murid yang mempunyai enam kategori iaitu

1) Kurang Upaya Pendengaran

2) Kurang Upaya Penglihatan

3) Kurang Upaya Pertuturan

4) Kurang Upaya Fizikal

5) Masalah Pembelajaran

6) Pelbagai (Multiple Disabilities)

Guru Muzik Sekolah Kebangsaan (SK) Pendidikan Khas Tuaran, Sabah Cikgu Stefanus Lucas berkata, MBK perlu diberi perhatian sama seperti murid lain kerana mereka juga tetap mahukan ilmu dan perhatian daripada semua.

“Di sini, saya kongsikan tujuh tip penting untuk MBK belajar subjek Muzik dengan baik ketika pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sekarang.

“Walaubagaimanapun, ia tetap memberi nilai yang sangat menyeronokkan dan mengujakan,” katanya kepada GPSBestari.

Berikut adalah tujuh tip daripada Cikgu Stefanus berkenaan bagaimana mengajar muzik bersama MBK dengan lebih berkesan.

1) Kenal pasti murid anda secara individu

– Kenal pasti latar belakang keluarga murid kita. Adakah murid berkemampuan atau tidak untuk mengikuti kelas secara dalam talian? Kenal pasti juga potensi, kebolehan dan kekangan murid secara peribadi. Adakah mereka boleh melakukan secara kendiri atau adakah ketidakupayaan yang murid kita sedang hadapi membolehkannya mengikuti kelas online tanpa sebarang gangguan?

IKLAN

– Adakah murid kita mempunyai kesukaran untuk melakukan pergerakan atau sebarang aktiviti muzikal dan bagaimana cara kita untuk mengatasikannya? Kenal pasti juga apa yang membuatkan murid lebih fokus apabila guru mengajar secara online, contohnya menggunakan benda yang dekat dihati atau benda yang mereka suka. Pentingnya mengetahui dan mengenalpasti MBK anda secara menyeluruh bagi memastikan kelas dapat dilaksanakan dengan sebaiknya.

2) Bina hubungan yang erat dengan ibu bapa atau penjaga murid

– Ketahuilah bahawa ibu bapa atau penjaga murid adalah ADIWIRA sepanjang PdPR. Tanpa mereka, sangat sukar untuk kita menyampaikan ilmu kepada MBK, lebih-lebih lagi yang memerlukan bimbingan dan perhatian khusus.

– Ibu bapa atau penjaga murid tidak semestinya memiliki bakat atau mempunyai latar belakang dalam bidang muzik untuk membimbing anak dalam aktiviti muzikal, sekadar boleh memahami apa arahan yang cuba disampaikan oleh guru untuk meminta murid melakukan aktiviti muzikal yang bersesuaian.

3) Guna alatan atau bahan bantu mengajar yang senang untuk didapati oleh murid

– Guna alatan seperti alat mainan yang dimiliki oleh mereka untuk mengajar konsep muzik.

– Kemudian, gunakan juga kain atau baju yang dimiliki oleh murid untuk mengajar konsep pergerakan mengikut muzik.

IKLAN

– Boleh juga sediakan alatan dapur untuk mengajar permainan alat muzik atau menggunakan bahan kitar semula untuk membina alat muzik DIY. Saya gunakan piring besar untuk mengajar alat muzik kompang. Jangan membebankan keluarga murid dengan mewajibkan untuk mendapatkan keperluan bahan mengajar seperti yang kita inginkan.

4) Guna arahan dan bahasa yang paling mudah dan senang untuk difahami serta ulang arahan tersebut dengan kerap, terutamanya bagi MBK kategori Masalah Pembelajaran

– Janganlah menggunakan bahasa kiasan ataupun secara puitis ketika memberi arahan untuk melaksanakan aktiviti muzikal. Contoh arahan mudah untuk mengajar konsep bunyi kuat dan lembut, “Singa Aummmm (sambil membuat bunyi kuat), Kucing Meoww (sambil membuat bunyi lembut), sekarang nyanyi lagu ini seperti suara Singa (nyanyi kuat), sekarang nyanyi lagu ini seperti suara Kucing (nyanyi lembut)”

– Sabar dan berulang-ulang memberi arahan atau ayat mudah yang ingin kita sampaikan. Contohnya untuk aktiviti bergerak mengikut muzik, “Angkat tangan, angkat tangan tinggi-tinggi, angkat tangan, angkat tangan seperti cikgu, angkat tangan, pandai anak murid cikgu”.

5) Pelbagaikan kaedah penyampaian ketika melaksanakan kelas

IKLAN

– Tujuannya adalah untuk menarik perhatian MBK melihat screen atau mendengar arahan yang cuba kita sampaikan menggunakan unsur-unsur kecindan dan mudah untuk mereka fahami sesuatu perkara. Contohnya, menggunakan kaedah penyampaian secara lakonan dengan melakonkan watak-watak yang disukai oleh murid kita untuk mengajar ekplorasi bunyi umpamanya (menggunakan watak kartun, binatang dan sebagainya).

– Kita juga boleh melakukan aktiviti kelas dalam talian dari kebun atau di sekitar kawasan rumah untuk menarik perhatian murid daripada cepat merasa bosan apabila melihat suasana atau tempat yang sama sahaja pada screen.

– Kita juga boleh menggunakan patung ketika mengajar murid topik yang berkaitan. Patung mempunyai pengaruh yang sangat besar untuk menarik perhatian MBK ketika kelas dilaksanakan. Malah, kaedah penyampaian menggunakan permainan juga sangat berkesan untuk menarik perhatian murid, sama ada permainan online seperti Wordwall, Quizizz dan sebagainya atau permainan secara langsung contohnya meneka bunyi yang mereka dengar dan memberi markah bagi siapa yang menjawab dengan pantas.

6) Jangan malu melayan dengan cara atau berkelakuan seperti mereka

– Jangan malu menggunakan intonasi seperti mereka, intonasi kanak-kanak atau suara seakan-akan suara anak murid kita sendiri. Lebih-lebih lagi sekiranya ada kelibat ibu bapa atau ahli keluarga lain yang turut bersama-sama ketika kelas dijalankan. Sekiranya kalau guru perlu menjerit, menjeritlah. Sekiranya guru perlu membuat bunyi menangis, buatlah bunyi suara menangis. Sekiranya guru perlu melakukan pergerakan bersama dengan patung atau objek lain, lakukanlah tanpa perlu merasa malu.

– Hubungan erat antara guru dan MBK sangat penting untuk membantu proses perkembangan murid dalam pelbagai aspek kehidupan mereka, dan salah satu cara untuk mengeratkan hubungan antara guru dengan murid adalah melayan mereka sebagaimana cara kehidupan seharian.

7) Make it simple and nice

– Jangan mengambil masa yang terlalu lama untuk melakukan kelas secara dalam talian. Durasi masa yang paling sesuai untuk melaksanakan kelas online dengan MBK adalah sekitar 20 sehingga 30 minit sahaja.- Kelas yang mengambil masa yang terlalu lama bukan sahaja menyebabkan murid merasa cepat bosan tetapi juga boleh mendatangkan tekanan (stress, gelisah dan tidak selesa) dan akhirnya boleh menyebabkan murid marah, mengamuk atau menangis kerana menghadap screen komputer dengan terlalu lama.

– Walaupun MBK kebiasaanya dilihat suka dan kerap menggunakan gajet, ini tidak bermaksud mereka boleh bertahan dan suka untuk mengikuti kelas kita secara talian pada tempoh masa yang lama. Dalam tempoh 20 sehingga 30 minit, lakukan pelbagai jenis aktiviti muzikal, seperti bergerak, menyanyi ataupun bermain alat muzik DIY.

Akhir sekali, apa yang saya kongsikan ini adalah sekadar pengalaman sebagai cikgu Muzik di sekolah ini bersama MBK kategori Kurang Upaya Penglihatan dan Masalah Pembelajaran
sepanjang tempoh PdPR.

Perkongsian ini tidak semestinya sesuai untuk dilaksanakan bersama dengan anak murid anda tetapi tidak salah untuk mencubanya dan jika kurang sesuai, boleh improvisasikan tip ini dan sesuaikan dengan situasi dan keadaan MBK yang cikgu-cikgu miliki.

You can do it!

Artikel Berkaitan

MESTI BACA