Gerbang Aspirasi Generasi Mahir

HomeGen Alpha6 amalan terbaik guru-guru terdahulu yang boleh dijadikan panduan untuk pendidik masa...
165,358FansLike
4,980FollowersFollow
627FollowersFollow
17,100SubscribersSubscribe

6 amalan terbaik guru-guru terdahulu yang boleh dijadikan panduan untuk pendidik masa kini

Beberapa amalan terbaik yang sering dilakukan oleh guru-guru terdahulu telah dikongsi Ustazah Aminah Mat Yusoff menerusi laman Facebooknya, baru-baru ini.

Merupakan Guru Cemerlang Sekolah Kebangsaan Seri Puteri, Batu Pahat, Johor, Ustazah Aminah berkata, amalan tersebut boleh dijadikan contoh kepada semua guru di Malaysia.

Ustazah Aminah

“Dunia pendidikan sekarang makin mencabar. Kerana itu, wajarlah kita jadikan amalan mereka sebagai panduan,” jelasnya.

Mari ikuti perkongsian Ustazah Aminah ini.

1) Mendoakan murid sebelum memulakan pengajaran. Amalan ini sangat memberi kesan dan menyentuh hati. Suasana pembelajaran terasa tenang dan tidak ada perlakuan negatif daripada pelajar.

Doa yang biasa guru saya baca ialah ayat 40 daripada Surah Ibrahim. Kelebihan ayat ini ialah melembutkan hati yang degil, membantu memperbaiki akhlak, menjadikan murid taat serta mudah mengikut arahan guru.

Baca juga Pisahkan anak daripada gajet, Ustazah Aminah kongsi 6 tip mudah untuk mak ayah lakukan

Baca juga Signalton 1M dan PeNyaMAN tarik perhatian juri hingga diangkat sebagai johan, hebat inovasi SMAPUTRA!

IKLAN

2) Berinfak kepada murid dan sekolah walaupun bukan orang yang kaya. Kelebihan ini yang sukar dicari ganti.

Gaji guru tidaklah mewah, kebanyakannya hanya mampu pakai motor sahaja, tapi sanggup buat tuisyen percuma pada waktu malam dan hujung minggu. Mengajar muridnya berpada-pada dengan keperluan dan belanja tapi sentiasa tamak dalam menuntut ilmu. Kelas tidaklah cantik seperti sekarang namun wajah mereka yang tenang dan menyejukkan hati sudah cukup untuk menarik minat murid ke sekolah.

3) Jarang sekali meninggalkan kelas. Guru pada masa itu jarang terlibat dengan aktiviti luar atau komitmen lain, kerja mereka hanyalah mengajar. Tidak pernah rasa kecewa setiap kali ke sekolah kerana guru sentiasa ada untuk mengisi jadual mereka.
Jika ada urusan penting, guru-guru ini akan gantikan masa berkenaan dengan kelas persendirian di rumah mereka. Sungguh manis kenangan ini.

4) Sama-sama merewang rumah murid jika ada kenduri. Seperti satu keluarga, tidak ada tembok yang menghalang hubungan seorang guru dan keluarga murid. Faktor utama ialah akad antara ibu bapa dan guru yang berlaku setiap kali sesi baru persekolahan.

“Saya serahkan anak saya untuk cikgu didik, kalau nakal, malas, degil dan melawan cikgu hukumlah anak saya, saya percaya pada cikgu.”

Gambar hiasan daripada Pexels.

IKLAN

Selesai sahaja ucapan itu ibu bapa tidak pernah persoalkan guru jika anak mereka dihukum, malah anak-anak akan sembunyikan daripada pengetahuan ibu bapa mereka kerana takut dimarahi dan dihukum sekali lagi.

5) Nota tulisan tangan untuk anak didik. Sangat banyak infak yang murid terima pada masa itu.

Guru bersengkang mata menyediakan nota untuk murid dan kemudian diperbanyakkan. Pemberian ini dikira sebagai jariah yang tidak pernah dipersoalkan balik. Saya simpan nota-nota ini untuk kegunaan empat orang adik di bawah saya, bagi saya ia sangat bernilai kerana berkatnya air tangan seorang guru yang sentiasa ikhlas.

6) Sentiasa dalam keadaan berwuduk. Masih terbayang-bayang wajah guru-guru yang bersih dan jernih. Bila pandang wajah guru hati terasa sejuk dan tenang, sangat mudah untuk saya mengingati ilmu yang diajar. Sehingga kini ada sesetengah pengajaran guru yang masih saya ingat, ia sangat kuat melekat dalam memori bahkan saya mampu kongsikan pula kepada orang ramai.

Masih terbayang-bayang di benak fikiran wajah guru ketika di Sekolah Al-Khairiah Banggol Stol, SK Menengah Arabiah Pasir Mas, IPTI, UKM, OUM dan UTHM.

Gambar hiasan daripada Pexels.

IKLAN

Guru-guru ini adalah suri teladan bagi saya, akhlak mereka baik-baik, sangat sopan tutur bicara apabila berhadapan dengan murid.

Ikuti juga kami di:
Instagram: https://www.instagram.com/gpsbestari/
Twitter: https://twitter.com/GPSBestari
Youtube: https://www.youtube.com/c/GPSBestariOfficial/

Tidak pernah saya mendengar kalimah cercaan ataupun maki hamun. Sungguh terkesan ilmu mereka, keberkatannya jelas terbukti.

Ya Allah…
Ampunilah dosa guru-guru kami.
Sediakanlah mahligai sebaik-baiknya untuk mereka.
Jadikanlah setiap ilmu yang mereka titipkan buat kami sebagai jariah yang berkekalan biarpun jasad mereka telah disemadikan.

Ya Allah…
Kerana Guru kami kenal MU,
Kerana Guru kami cinta RasulMU,
Kerana Guru kami jadi orang yang berilmu dan mendalami agamaMu,

Ya Allah…
Sayanglah guru kami,
Kasihanilah guru kami,
Limpahkanlah guru kami dengan rahmat dan barakahMu

Ya Allah…
Izinkanlah kami berkumpul dengan guru kami di syurgaMu yang kekal Abadi.
Allahumma amiiin.

Sumber: Facebook Aminah Mat Yusoff

Artikel Berkaitan

MESTI BACA