HomeGen Alpha5 keunikan ragam bahasa yang perlu pelajar tahu
164,827FansLike
4,964FollowersFollow
603FollowersFollow
17,100SubscribersSubscribe

5 keunikan ragam bahasa yang perlu pelajar tahu

Kehidupan bermasyarakat seperti yang diamalkan masyarakat Melayu kaya dengan pelbagai keunikan terutamanya dari segi komunikasi. Dalam budaya Melayu, penyampaian maklumat boleh diaplikasikan dalam pelbagai cara.

Tidak ramai yang mengetahui bahasa Melayu mempunyai pelbagai jenis ragam bahasa. Setiap satu ragam bahasa mempunyai teknik penyampaian tertentu.

Penggunaan ragam bahasa ini adalah berdasarkan situasi sesuatu keadaan. Keindahan bahasa yang wujud dalam budaya Melayu ini menjadikan masyarakat ini terkenal dengan masyarakat yang menitikberatkan kesopanan semasa berbahasa.

Oleh itu, generasi muda khususnya pelajar-pelajar perlu mengetahui ragam bahasa ini sebagai tambahan ilmu asas dalam menjalani kehidupan seharian.

IKLAN

Berikut adalah lima jenis ragam bahasa yang GPSBestari kongsikan

1) Bahasa menyindir
Bahasa menyindir adalah satu bentuk ujaran yang tidak ditujukan secara terus kepada pendengar. Ragam bahasa jenis ini tidak bersifat berterus terang. Ini kerana, masyarakat Melayu lebih suka menggunakan teknik kiasan yang mengandungi makna yang mendalam.
Contoh: Kalau macam itu sambunglah tidur, tak apa rezeki memang jatuh dari langit.

2) Bahasa menggiat
Bahasa menggiat mempunyai sedikit persamaan dengan bahasa sindiran. Namun begitu, bahasa menggiat ini lebih bersifat gurauan atau bertujuan mengusik sehingga mampu menimbulkan rasa malu terhadap individu yang digiati.
Contoh: Patutlah rasa manis air ini, rupanya si pembuatnya sungguh manis.

IKLAN

3) Bahasa mengejek
Bahasa mengejek pula merujuk kepada bahasa giatan tetapi tidak bertujuan untuk bergurau. Penggunaan ragam bahasa jenis ini adalah lebih terarah kepada menjatuhkan air muka dan kemampuan seseorang individu. Ragam bahasa mengejek ini adalah bertujuan untuk mentertawakan kekurangan dan keburukan orang lain.
Contoh: Cakap saja kita semua perlu memartabatkan bahasa Melayu, tetapi dia sendiri cakap bahasa Inggeris dengan keluarga dan kawan-kawan.

4) Bahasa tempelak
Bahasa tempelak sering digunakan bagi meluahkan kekesalan terhadap sikap individu. Ujaran ini kebiasaannya digunakan bagi memberikan pengajaran dan peringatan terhadap kesilapan yang dilakukan oleh seseorang.
Contoh: Itulah yang kau mahu kan? Biar dia tertekan sampai masuk hospital sakit jiwa sebab terlalu sayangkan kau, baru kau rasa seronok pergunakan dia.

IKLAN

5) Bahasa merendah
Bahasa merendah merupakan satu ragam bahasa yang digunakan bertujuan untuk merendah diri. Bahasa ini sering digunakan oleh masyarakat Melayu sebagai tanda adat dan identiti masyarakat Melayu.
Contoh: Jemputlah masuk ke teratak kecil saya yang tidak seberapa ini.

Lima jenis ragam bahasa ini adalah penting untuk pemahaman dan memberi pendedahan bahawa bahasa Melayu sangat unik dengan kepelbagaian ragam bahasa yang wujud dalam pertuturan seharian.

Oleh itu, dengan perkongsian ini diharapkan, masyarakat terutamanya para pelajar dapat menggunakan dan mengaplikasikan ragam-ragam bahasa ini agar keunikannya dapat dikekalkan sekali gus mampu mengelakkan salah faham antara masyarakat sekiranya sesuatu maklumat itu disampaikan secara terus tanpa mempraktikkan teknik-teknik yang betul.

Semoga perkongsian ini dapat dimanfaatkan bersama. Selamat membaca!

Artikel Berkaitan

MESTI BACA