Gerbang Aspirasi Generasi Mahir

HomeBuletinWarga pendidik harus bijak beradaptasi pastikan perkembangan pendidikan semakin relevan
165,358FansLike
4,980FollowersFollow
627FollowersFollow
17,100SubscribersSubscribe

Warga pendidik harus bijak beradaptasi pastikan perkembangan pendidikan semakin relevan

PUTRAJAYA – Warga pendidikan yang menjunjung falsafah pendidikan Kebangsaan harus bijak beradaptasi bagi memastikan perkembangan pendidikan sentiasa berada di landasan yang betul dan semakin relevan dengan kehendak semasa.

Ketua Pengarah Pendidikan, Datin Seri Nor Zamani Abdol Hamid berkata, situasi pandemik Covid-19 yang melanda dunia dan negara telah menuntut untuk para guru agar sentiasa berfikiran kreatif dan proaktif agar tidak mudah mengalah dengan bencana yang melanda.

“Sehubungan dengan itu, kita seharusnya melangkah sederap bagi memastikan segala apa yang telah dirancang dapat disempurnakan dengan sebaik mungkin. Pelbagai pendekatan dalam Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) seharusnya dapat meningkatkan nilai tambah serta disesuaikan dengan situasi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

“Usaha ini dapat dijelmakan dari semasa ke semasa melalui penggabungjalinan aplikasi yang menekankan aspek pelibatan murid secara aktif dan menyeluruh agar selari dengan Aspek 4.6 iaitu murid sebagai pembelajar aktif dalam Standard Kualiti Pendidikan Malaysia Gelombang-2 (SKPMg2),” katanya dalam majlis penutupan Konvensyen Pendidikan Putrajaya 2021 yang berlangsung secara dalam talian.

Baca juga ‘Straight’ A SPM 2019, Awang kongsi perjalanan hidup sebelum raih keputusan cemerlang. Warganet kagum!

IKLAN

Baca juga Pelajar undang-undang UM harumkan nama Malaysia di pentas dunia

Nor Zamani berkata, tema konvensyen tahun ini iaitu “Perkongsian Amalan Terbaik PdP dalam Memperkasakan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) Melalui Norma Baharu” seharusnya dijana secara efektif bagi memastikan kualiti para guru dapat ditingkatkan dan kemenjadian murid secara holistik berjaya direalisasikan.

Beliau berkata, usaha itu juga selari dengan enam aspirasi murid seperti yang dinyatakan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) iaitu setiap murid akan mempunyai pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran dwibahasa, etika dan kerohanian serta identiti nasional.

IKLAN

“Dalam mendepani cabaran pendidikan abad ke-21, aspek pedagogi merupakan salah satu disiplin ilmu yang penting bagi memastikan pengajaran dan pembelajaran menjadi lebih berkesan dan bermakna,” katanya.

Ikuti juga kami di:
Instagram: https://www.instagram.com/gpsbestari/
Twitter: https://twitter.com/GPSBestari
Youtube: https://www.youtube.com/c/GPSBestariOfficial/

IKLAN

Beliau berkata, perkongsian segala bentuk pengetahuan, kemahiran, penyelidikan, dapatan dan inovasi oleh para guru di Konvensyen Pendidikan Putrajaya seharusnya dapat dimanfaatkan secara optimum dengan menyebarluaskan dalam pelbagai medium dan aplikasi serta memberi manfaat kepada murid-murid dan dunia pendidikan secara umumnya.

Konvensyen anjuran Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya (JPWPP) dengan kerjasama Yayasan Guru Tun Hussein Onn (YGTHO) itu bertujuan mewujudkan kerjasama organisasi secara optimum dalam meningkatkan profesionalisme keguruan khususnya dari aspek pedagogi dan amalan terbaik PdPR para guru.

Konvensyen Pendidikan Putrajaya 2021 merupakan satu pengiktirafan terhadap sumbangan dan kecemerlangan para pendidik yang bertugas di Putrajaya serta membuka ruang kepada mereka untuk meningkatan pengetahuan dalam amalan pedagogi pengajaran bagi menghadapi cabaran abad ke-21.

Ia juga adalah platform bagi para pendidik memperoleh idea dan pengetahuan baharu tentang amalan terbaik pedagogi yang mutakhir serta memupuk dan membudayakan amalan penyelidikan dalam kalangan guru serta berkongsi hasil kajian secara lisan dan bertulis – BERNAMA

Artikel Berkaitan

MESTI BACA