Gerbang Aspirasi Generasi Mahir

HomeBuletinUUM terus jadi pilihan pelajar sambung pengajian di pelbagai peringkat
165,358FansLike
4,980FollowersFollow
629FollowersFollow
17,100SubscribersSubscribe

UUM terus jadi pilihan pelajar sambung pengajian di pelbagai peringkat

SINTOK – Universiti Utara Malaysia (UUM) terus menjadi pilihan pelajar untuk menyambung pengajian di pelbagai peringkat pada sesi akademik kali ini kerana pencapaian kebolehpasaran graduan yang memberangsangkan sebelum ini.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) yang menjalankan fungsi Naib Canselor UUM, Prof Dr Haim Hilman Abdullah berkata, UUM menjadi universiti ke enam dalam pilihan pelajar untuk melanjutkan pengajian pada sesi ini.

Menurut beliau, ia terbukti dari segi pencapaian kebolehpasarannya yang kini telah mencapai 87.38 peratus graduan berjaya mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas menamatkan pengajian pada tahun lalu.

Ia juga menunjukkan bahawa UUM telah meletakkan satu standard yang baik kepada para majikan.

“Dalam keadaan dunia pekerjaan sekarang yang sangat mencabar, ditambah pula dengan kemelut Covid-19 yang masih belum surut, menuntut usaha gigih daripada pelajar agar dapat bersaing untuk menjadi yang terbaik.

IKLAN

“Ia termasuklah mendapat keputusan yang cemerlang dalam bidang akademik sekali gus membahagiakan ibu bapa dan waris yang menaruh harapan untuk melihat kejayaan anak-anak mereka nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Minggu Suai Kenal (MSK) pelajar baharu semester pertama sesi 2021/2022 yang diadakan secara dalam talian.

Sempena penganjuran MSK, pelajar Sarjana Muda Perakaunan, Muhammad Nafis Aiman Mohamad Khairil dari Kulim, Kedah mengetuai bacaan ikrar MSK pelajar baharu semester pertama sesi 2021/2022 bersama 4,290 pelajar lain.

IKLAN

Selain Prof Haim, bacaan ikrar pertama kali secara dalam talian ini turut disaksikan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UUM, Prof Madya Dr Hendrik Lamsali; Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof Dr Shahimi Mohtar dan Pendaftar UUM, Ahmad Rasidi Abdullah.

Terdahulu, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UUM, Muhammad A’linur Ahlam Abu Bakar turut berucap mengalu-alukan kehadiran pelajar baharu ke kampus ini.

IKLAN

Menurut Prof Haim lagi, tidak dinafikan bahawa pandemik Covid-19 secara tidak langsung telah mengubah cara hidup manusia dalam bersosial termasuklah corak pengajaran dan pembelajaran (PdP) demi memastikan kelangsungan pendidikan dan penyampaian ilmu dapat terus berlaku,

“Namun begitu, proses PdP yang dikendalikan secara dalam talian ini bukanlah kaedah yang asing kerana murid-murid sekolah rendah, menengah, persatuan-persatuan, komuniti, kelab-kelab dan jabatan-jabatan juga mengendalikannya secara dalam talian.

“Walaupun kaedah pembelajaran dalam talian ini meninggalkan banyak kesan dari segi mental dan fizikal pelajar, ibu bapa dan waris namun pihak UUM sentiasa mengutamakan kebajikan pelajarnya termasuk menyediakan pelbagai bantuan seperti kewangan, khidmat nasihat, sesi kaunseling dan bantuan lain yang diperlukan.

“Oleh itu sentiasalah berhubung dan mendapatkan maklumat serta bantuan tanpa rasa gusar mahupun malu, kerana kita merupakan keluarga yang besar dan dalam masa yang sama berdoa agar Covid-19 ini dapat dibendung supaya proses pembelajaran secara bersemuka akan dapat diadakan nanti,” tuturnya lagi.

Artikel Berkaitan

MESTI BACA