Gerbang Aspirasi Generasi Mahir

HomeBuletinUMK sedia terima kemasukan pelajar ke kampus bermula 15 Oktober ini
165,358FansLike
4,980FollowersFollow
627FollowersFollow
17,100SubscribersSubscribe

UMK sedia terima kemasukan pelajar ke kampus bermula 15 Oktober ini

BACHOK – Universiti Malaysia Kelantan (UMK) sedang giat melakukan persiapan untuk menerima kemasukan pelajar ke kampus bagi Sesi Akademik 2021/2022.

Pembukaan semula ini adalah selaras dengan kenyataan rasmi yang diumumkan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad mengenai kemasukan pelajar ke kampus institusi pendidikan tinggi (IPT) secara berperingkat bermula 15 Oktober ini.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMK, Prof Dr Nik Maheran Nik Muhammad berkata, proses kemasukan pelajar ke tiga kampus juga akan dilaksanakan secara berperingkat.

Beliau yang juga menjalankan fungsi Naib Canselor UMK berkata, kemasukan pelajar UMK ke kampus dianggarkan seramai 6,078 orang pelajar.

“Namun begitu, bilangan pelajar yang akan dibenarkan hadir masih tertakluk kepada kapasiti asrama yang telah ditetapkan oleh pihak Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) untuk kesemua kampus.

“Bagi kaedah pembelajaran dan pengajaran pula, pihak UMK bersetuju supaya ia dilaksanakan secara hibrid selaras dengan Pekeliling Akademik Bilangan 5/2021-Pemakluman Mengenai Pengajaran Dan Pembelajaran (PdP) Bagi Sesi Akademik 2021/2022,” kata beliau.

IKLAN

Gambar hiasan daripada UMK.

Menurut beliau lagi, enam kategori pelajar berkeperluan yang dibenarkan kembali ke kampus ialah pelajar praktikal daripada program pengajian peringkat sijil, diploma, ijazah sarjana duda dan pascasiswazah yang memerlukan latihan amali, makmal, klinikal, studio, bengkel dan peralatan khas.

“Selain itu, pelajar yang tidak mempunyai akses dan persekitaran kurang kondusif bagi melaksanakan PdP dalam talian juga dibenarkan kembali ke kampus di samping pelajar asasi atau setara dan diploma yang telah sedia ada di kampus, semua pelajar antarabangsa sedia ada dan baharu, pelajar berkeperluan khas (OKU) dan pelajar yang menduduki peperiksaan MUET, antarabangsa dan badan professional.

IKLAN

“Sehubungan itu, pelajar UMK yang berhasrat untuk masuk ke kampus perlu memenuhi syarat seperti telah lengkap dua dos vaksin dan kebenaran masuk akan ditentukan oleh pihak fakulti. Kadar pengiraan kapasiti asrama juga mengambil kira prosedur operasi standard (SOP) penjarakan fizikal dan kuarantin,” jelasnya lagi.

Dalam pada itu, Prof Dr Nik Maheran berkata, pendaftaran pelajar baharu bagi Sesi Akademik 2021/2022 akan dilaksanakan secara dalam talian pada 2 Oktober 2021, manakala kuliah bagi pelajar baharu dan lama akan bermula pada 10 Oktober 2021.

Bagaimanapun, katanya kehadiran secara fizikal ke UMK adalah tertakluk kepada pekeliling dan arahan daripada KPT, Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta universiti.

IKLAN

Gambar hiasan daripada UMK.

“UMK juga mempunyai pelan pelaksanaan Pembelajaran dan Pengajaran-Dalam Talian (PdP-DT) Fasa ke-4 yang dirancang iaitu Pembelajaran Dalam Talian sepenuhnya menggunakan platform rasmi LMS eCampus untuk semua kursus yang tidak perlu bersemuka kecuali PdP yang melibatkan makmal, bengkel dan studio.

“Pembelajaran Hibrid ialah pembelajaran bersemuka untuk pelajar dalam kampus dan pembelajaran dalam talian untuk pelajar luar kampus yang berlaku serentak.

“Pembelajaran Teradun Gantian pula masih boleh dilaksanakan dengan maksimum 80 peratus dalam talian dan 20 peratus secara bersemuka,” ujar beliau.

Artikel Berkaitan

MESTI BACA