HomeBuletinTeater Solusi bawa tuah kepada Sekolah Seni Malaysia Perak
168,577FansLike
4,980FollowersFollow
634FollowersFollow
17,100SubscribersSubscribe

Teater Solusi bawa tuah kepada Sekolah Seni Malaysia Perak

SUNGAI SIPUT: Teater bertajuk Solusi yang mengetengahkan lakonan mantap daripada pelajar Tingkatan Satu, Shaffi Akram membawa tuah kepada Sekolah Seni Malaysia Perak (SSeMPk), di sini apabila dinobatkan sebagai johan Sayembara Teater Mono Sekolah Rendah dan Menengah Peringkat Kebangsaan, baru-baru ini.

Konsep lakonan monodrama secara eksperimental dalam teater berkenaan juga berjaya membantu SSeMPk meraih Anugerah Persembahan dan Pengarah Terbaik dalam pertandingan yang dianjurkan Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian (BSKK), Kementerian Pendidikan (KPM) itu.

Jurulatih Bidang Seni Teater, Izwan Palarae berkata, cabaran utama pihaknya dalam menjayakan teater itu adalah proses perbincangan atau ‘brainstorming’ ketika tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekali gus menyebabkan ia berlangsung agak terhad.

Namun begitu, katanya kerjasama yang diberikan oleh tiga orang guru dan lima pelajar dalam produksi termasuk Shaffi sangat baik sehingga mampu membantu sekolah berkenaan meraih tiga anugerah sekali gus.

“Pelbagai persiapan dilakukan bagi menyertai pertandingan ini bermula daripada proses awal membabitkan perbincangan idea untuk naskhah, pemilihan pelakon, pengurusan produksi sehingga ke hari rakaman.

IKLAN

“Kesemua persiapan itu termasuklah sesi latihan diadakan secara dalam talian kerana pandemik Covid-19 dan kekangan PKP. Selepas semua proses berkenaan lengkap, barulah kami melakukan sesi rakaman,” katanya.

Konsep lakonan monodrama secara eksperimental dalam Teater Solusi yang pernah mendapat tempat kelima dalam Festival Monodrama Remaja ASEAN 2021 secara dalam talian baru-baru ini, hanya menggunakan kerusi sebagai perlambangan watak.

IKLAN

Izwan berkata, sebagai jurulatih bidang seni teater, kejayaan itu menjadi pembakar semangat untuk SSeMPK terus menghasilkan karya bermutu di masa depan terutama membabitkan seni teater.

“Kejayaan ini juga hasil sokongan penuh dan padu daripada guru-guru dan barisan pentadbiran sekolah. Tanpa semangat dan sokongan mereka, kami mungkin tidak berjaya menghasilkan sebuah teater yang menarik ini.

“Paling penting menerusi kejayaan ini, bakat muda dapat diketengahkan bukan sahaja dari segi lakonan, tetapi mendorong mereka membentuk sebuah produksi yang berkualiti, lengkap dengan ilmu dan pengalaman yang boleh digunakan jika terbabit dalam industri seni teater di masa depan,” ujarnya.

IKLAN

Pengetua SSeMPK, Zuraini Abdullah.

Sementara itu, Pengetua SSeMPK, Zuraini Abdullah berkata, pelajar yang terbabit dengan produksi itu sememangnya bekerja kuat untuk menjayakannya sekali gus membuktikan pengorbanan dan penat lelah pasukan akhirnya berbaloi.

“Kami berharap penganjuran program sebegini dapat diteruskan di tahun akan datang kerana ia memberi manfaat kepada pelajar meskipun berdepan kekangan PKP dan pandemik Covid-19.

“Ia tidak pernah menjadi penghalang kepada kami untuk membuktikan bahawa tiada apa yang mustahil jika kita punya tekad dan berusaha,” katanya yang turut berterima kasih kepada Penolong Kanan Kesenian SSeMPk, Mohd Azhar Ariffin atas usaha beliau menaikkan bidang seni teater sekolah berkenaan ke peringkat luar.

Artikel Berkaitan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

MESTI BACA