HomeBuletinRangkaian 5G, inisiatif rapatkan jurang digital antara tumpuan KKMM
168,577FansLike
4,980FollowersFollow
634FollowersFollow
17,100SubscribersSubscribe

Rangkaian 5G, inisiatif rapatkan jurang digital antara tumpuan KKMM

KUALA LUMPUR – Teknologi digital telah banyak mengubah kehidupan masyarakat pada masa kini, terutama ketika dunia berdepan penularan pandemik COVID-19 yang memerlukan kebanyakan aktiviti menggunakan medium dalam talian.

Bukan sahaja keperluan bekerja dari rumah digerakkan sektor awam dan syarikat swasta, malah pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) dalam kalangan murid dan pelajar sekolah serta penuntut di institusi pengajian tinggi yang memasuki kelas secara dalam talian, juga terpaksa ditingkatkan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.

Mengambil maklum perkembangan teknologi digital, kerajaan kini dalam usaha melaksanakan rangkaian generasi kelima (5G) negara yang bakal menjadi pencetus perubahan pelbagai kegiatan berteknologi tinggi.

Bagi pelaksanaan itu, Digital Nasional Bhd (DNB) yang merupakan syarikat milik penuh Kementerian Kewangan Diperbadankan diberi mandat menjadi pihak neutral tunggal untuk melaksanakan rangkaian 5G di seluruh negara melalui mekanisme rangkaian pemborong tunggal (SWN) yang ditetapkan buat masa ini.

Sebelum ini, Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa dilaporkan berkata pengguna dijangka tidak perlu membayar kos tinggi bagi mendapatkan perkhidmatan 5G kerana kerajaan telah mengambil kira perkara itu sebelum melaksanakannya.

Melalui DNB, Annuar berkata kerajaan telah menetapkan agar kos kemudahan terbabit perlu efektif supaya tidak membebankan pengguna.

IKLAN

Pada akhir Disember ini, sekitar 10 peratus liputan 5G di Putrajaya, Cyberjaya dan Kuala Lumpur dengan bilangan tapak kumulatif sebanyak 500 tapak dijangka dilancarkan.

Jumlah itu akan ditingkatkan kepada 4,018 tapak atau 40 peratus liputan di kawasan berpenduduk di Pulau Pinang, Johor, Sabah, Sarawak, Selangor, Negeri Sembilan dan Perak pada 2022, selain DNB menyasarkan mencapai liputan 80 peratus kawasan berpenduduk menjelang 2024 dengan 7,509 tapak di Malaysia.

Selain itu, perkhidmatan 3G di Malaysia bakal ditamatkan sepenuhnya pada 31 Dis ini, dan pengguna diminta untuk segera beralih kepada rangkaian 4G bagi mengelakkan mereka terkesan dan ketinggalan dalam gelombang pendigitalan.

Penamatan rangkaian 3G adalah seiring dengan usaha kerajaan meningkatkan liputan jalur lebar yang lebih menyeluruh dan berkualiti tinggi di bawah inisiatif Infrastruktur Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).

IKLAN

Bagaimanapun, dalam usaha merealisasikan perkhidmatan digital ke arah lebih optimum, jurang digital terutama kawasan bandar dan luar bandar perlu ditingkatkan memandangkan terdapat kawasan yang masih mempunyai capaian Internet yang rendah.

Memetik ucapan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) pada 27 Sept lepas, beliau berkata kerajaan akan merapatkan jurang digital terutama antara bandar dan luar bandar yang disebabkan perbezaan prasarana jalur lebar, melalui penyediaan kemudahan infrastruktur digital.

Dalam usaha itu, pusat Internet, Pusat Internet Desa dan Pusat Komuniti Desa akan ditransformasi sebagai Pusat Digital Keluarga Malaysia bagi memberi perkhidmatan yang lebih baik dan bersepadu bagi memudahkan penduduk setempat terlibat dalam e-dagang, latihan kemahiran, pembelajaran dan aktiviti kemasyarakatan.

IKLAN

Tahun 2021 turut menyaksikan pertukaran pentadbiran kerajaan dengan Annuar dilantik sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia menggantikan Datuk Saifuddin Abdullah yang bertukar ke Kementerian Luar.

Dalam 100 hari pertama menerusi Aspirasi Keluarga Malaysia, Annuar berkata Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) telah mencapai sasaran 100 peratus menerusi tiga petunjuk prestasi utama (KPI) antaranya membuka semula aktiviti industri kreatif terutamanya perfileman yang terlalu lama terhenti akibat PKP.

Menerusi sasaran 2,000 syarikat berkaitan industri perfileman dihidupkan semula dengan pembaharuan lesen, sebanyak 3,990 syarikat kini telah berjaya kembali untuk memulakan aktiviti penggambaran.

Selain itu, pencapaian kementerian turut melibatkan pelancaran Pakej Peranti serta Pakej Remaja Keluarga Malaysia dengan lebih 90,000 individu telah melanggan pakej berkenaan dan menikmati perkhidmatan jalur lebar dengan harga mampu milik serta penawaran geran, dana dan skim insentif kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), industri kreatif digital dan syarikat industri digital.

Bergerak ke hadapan, KKMM akan meneruskan pelaksanaan agenda utama seperti JENDELA, perkhidmatan 5G dan penyediaan prasarana termasuk penyediaan Point of Presence (PoP) hab gentian optik bagi memperluaskan jaringan dan liputan infrastruktur jalur lebar. – BERNAMA

Artikel Berkaitan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

MESTI BACA