HomeBuletinPeruntukan RM40 juta bantu operasi maahad tahfiz
168,577FansLike
4,980FollowersFollow
634FollowersFollow
17,100SubscribersSubscribe

Peruntukan RM40 juta bantu operasi maahad tahfiz

IPOH – Isu maahad tahfiz yang tidak beroperasi berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bakal ditangani dengan peruntukan sebanyak RM40 juta bagi membantu kos pengoperasiannya, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad.

Beliau berkata, jumlah itu merupakan baki daripada peruntukan bagi tujuan prasarana dan infrastruktur, selepas RM60 juta telah diagihkan kepada institusi yang memerlukan.

“Kos operasi tidak timbul setakat ini. Terdapat RM40 juta lagi untuk digunakan bagi prasarana dan infrastruktur, tetapi oleh kerana perundingan saya dengan Menteri Kewangan, kita minta tukarkan kepada agihan untuk operasi jadi boleh kita beri sedikit sebanyak lebihan peruntukan ini.

“Yang kedua ia juga diluluskan hanya untuk maahad tahfiz dan sekolah pondok yang berdaftar, tetapi kita cuba bagi walaupun tidak berdaftar dengan harapan mereka akan berdaftar untuk mendapatkan bantuan,” katanya.

Baca juga Mekanik muda, Syasya Mazdiana galak wanita ceburi bidang automatif

Baca juga Berpengalaman 27 tahun sebagai pendidik, Cikgu Abdullah guna pendekatan berbeza ajar pelajar Tingkatan 6

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyerahkan bantuan Program Inspirasiku MyHAUS Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) Negeri Perak di Kampung Sri Aman, Menglembu di sini.

IKLAN

Idris berkata tiada laporan penutupan maahad tahfiz setakat ini, malah ia akan beroperasi seperti biasa mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Ogos lalu, media melaporkan sebanyak 64.7 peratus maahad tahfiz di Malaysia perlu menutup operasi atas arahan kerajaan.

Perkara itu didedahkan Presiden Permata Al-Quran Manolito Mohd Dahlan, yang menyatakan perkara itu dikesan selepas kajian pihaknya terhadap 512 maahad tahfiz di seluruh negara.

Manolito melaporkan, kajian turut mendapati 11.7 peratus maahad tahfiz perlu memberhentikan semua kakitangan, mampu bayar separuh gaji (52 peratus) dan boleh bertahan tidak lebih tiga bulan (34.4 peratus).

IKLAN

Sementara itu, Idris berkata, rancangan Model Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) Perdana yang memberi jawatan tetap kepada guru Kafa, masih diteruskan kerajaan dan masih dalam proses akhir pelaksanaannya.

“Perkara itu melibatkan soal kajian, soal pencen dan sebagainya, yang memerlukan pentadbiran. Saya baru bermesyuarat dengan pihak Jakim dan pihak Kementerian Pendidikan, sebenarnya proses itu sudah dibuat sebahagian cuma hendak bincang termasuk perkara melibatkan waktu kelas beroperasi yang berbeza antara negeri.

“Penyelarasan ini dilaksanakan oleh Majlis Agama Islam negeri atau Jabatan Agama Islam negeri, manakala kita hanya mencadangkan dari segi waktu operasi, mengajar dan sebagainya. Kertas-kertas itu sudah siap dan pemberian jawatan tetap dalam proses,” katanya.

IKLAN

Pada Januari lalu, Datuk Seri Zulkifli Mohamad al-Bakri yang sebelum ini memegang jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menjelaskan, pihaknya dalam proses akhir penyediaan Memorandum Jemaah Menteri untuk kelulusan Kabinet bagi pelaksanaan Rintis Model KAFA Perdana.

Program rintis yang membabitkan empat buah negeri iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Kelantan, Pahang dan Sabah, akan dilaksanakan di 12 buah sekolah masing-masing tiga buah sekolah di Kelantan, Pahang, Sabah dan Kuala Lumpur.

Ikuti juga kami di:
Instagram: https://www.instagram.com/gpsbestari/
Twitter: https://twitter.com/GPSBestari
Youtube: https://www.youtube.com/c/GPSBestariOfficial/

Projek itu juga bakal menjadi penanda aras untuk kerajaan mewujudkan jawatan tetap dan berpencen kepada guru-guru Kafa pada masa akan datang, serta akan dibayar elaun setaraf dengan DG29.

Terdahulu, Idris melakukan simbolik penyerahan bantuan pembinaan tempat tinggal di bawah Program Inspirasiku MyHAUS berjumlah RM40,000 kepada peniaga Azidi Sudin, 53, yang berstatus asnaf dan dibantu dari pelbagai sudut menerusi program berkenaan.

Azidi yang berniaga air dan menjual pisang goreng hanya berpendapatan RM1,300 sebulan malah perlu menyara enam anak termasuk seorang yang berstatus Orang Kurang Upaya (OKU), turut dibantu melalui program bantuan perniagaan berjumlah RM5,000 serta Bantuan Inspirasi Pendidikan Anak berjumlah RM5,000 yang mana keseluruhannya berjumlah RM50,000 – BERNAMA

Artikel Berkaitan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

MESTI BACA