Gerbang Aspirasi Generasi Mahir

HomeBuletinPendidikan Muzik di sekolah, perlu atau tidak?
165,358FansLike
4,980FollowersFollow
629FollowersFollow
17,100SubscribersSubscribe

Pendidikan Muzik di sekolah, perlu atau tidak?

Lowell Manson, yang pernah digelar ‘Bapa Pendidikan Muzik’ menerusi buku tulisan Johami Abdullah pada tahun 1993 berkata, semua pelajar boleh menyanyi dan berhak untuk mempelajari muzik.

Beliau juga memberitahu, bahawa muzik boleh membawa banyak kebaikan kepada individu.

Manakala Choksy (1988) dalam bukunya Teaching Music Effectively In The Elementary School telah menyenaraikan lima sebab utama kepentingan muzik dalam kurikulum pendidikan.

Bidang muzik membentuk pelajar yang holistik daripada aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek.

Lima sebab tersebut ialah muzik sebagai hiburan, rekreaksi dan pemberi pengalaman yang berbeza, muzik sebagai kerjaya, muzik dan pendidikan yang holistik, muzik sebagai pengaruh sosial, serta muzik sebagai penyentuh perasaan dan pemberi pengalaman estetik.

Melihatkan semua ini, ia jelas menunjukkan bahawa mata pelajaran pendidikan muzik itu sangat penting untuk didedahkan kepada murid-murid.

Ubah persepsi terhadap bidang muzik

Persepsi masyarakat terhadap pendidikan muzik yang dianggap kurang penting atau tidak menjanjikan peluang pekerjaan perlu diubah kerana bidang itu diperkenalkan di peringkat sekolah dan universiti, bukan untuk melahirkan ahli muzik semata-mata.

Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar, Fakulti Muzik, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Ahmad Rithaudin Md Noor berkata, pendidikan muzik yang diperkenalkan di sekolah bertujuan untuk melahirkan seorang insan yang seimbang daripada segi jasmani, emosi, rohani, dan intelek.

Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar, Fakulti Muzik, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Ahmad Rithaudin Md Noor.

Menurut beliau, terdapat banyak manfaat boleh dikaitkan dengan pembelajaran muzik itu sendiri seperti aktiviti bermain rekorder yang bertujuan melatih pergerakan jari sekali gus memperkukuhkan aspek jasmani dan kemahiran motor murid-murid.

“Selain itu, pendidikan muzik ini juga dapat menggalakkan hormon dopamine iaitu hormon yang mecetuskan perasaan seronok sekali gus membuatkan emosi rasa stabil apabila seseorang itu mendengar muzik.

“Jika dilihat penggunaan muzik dalam kehidupan seharian termasuklah lagu Negaraku sebagai lagu kebangsaan yang sering berkumandang di sekolah, universiti atau majlis rasmi, ia berperanan membina identiti sesebuah negara atau masyarakat itu sendiri,” ujarnya ketika dihubungi baru-baru ini.

IKLAN

Pendidikan muzik mampu mengilap bakat pelajar sehingga mampu membuat persembahan di dalam dan luar negara.

Jelas Dr Ahmad Rithaudin lagi, bagi pelajar yang berminat mendalami bidang muzik, selepas belajar di peringkat sekolah rendah dan kemudian mungkin memasuki sekolah persendirian untuk belajar muzik, mereka seterusnya disaran untuk melanjutkan pengajian di Fakulti Muzik UiTM.

“Tidak dinafikan ramai pemuzik dan penyanyi muncul pada hari ini tanpa perlu mendapatkan pendidikan formal tetapi ilmu itu sebenarnya yang akan menjadikan seseorang pemuzik itu berbeza dengan kebanyakan bakat yang ada dalam industri,” tuturnya lagi.

Muhammad Rais Mohd Iqbal.

Sementara itu, pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Muzik, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Muhammad Rais Mohd Iqbal menjelaskan bidang muzik bukan saja membuka peluang kepada dirinya untuk menjana pendapatan sampingan tetapi mampu menghilangkan tekanan ketika mengulangkaji pelajaran.

“Pada mulanya saya melihat bidang muzik ini sebagai hiburan tetapi apabila menyambung pengajian di UPSI, persepsi itu mula berubah kerana banyak faedah yang diperolehi melalui pembabitan dalam muzik.

“Apatah lagi bila melihat kebanyakan aktiviti seni kesemuanya menggunakan muzik termasuklah bidang teater, filem, dan tarian sekali gus menyebabkan saya mahu lebih mendalami bidang ini,” tambahnya yang mahir bermain alat muzik perkusi.

Muhammad Rais mahir bermain alat muzik perkusi dan seruling.

IKLAN

Pendidikan muzik sekolah rendah

Bagi Cikgu Mohd Al Hafidz Hassan dari Sekolah Kebangsaan Methodist Pelabuhan Klang, Selangor pula, pendidikan muzik sangat penting kerana ia memberi keseimbangan pemikiran dan minda murid, selari dengan falsafah pendidikan negara iaitu Jasmani, Emosi, Rohani, Intelek (JERI).

Walaupun muzik bukan subjek teras, namun kata Cikgu Mohd Al Hafidz, muzik banyak membantu dari segi kehadiran murid ke sekolah.

“Saya melihat, pendidikan muzik ini dapat menarik minat murid untuk terus belajar dan hadir ke sekolah (sebelum pandemik Covid-19).

“Ini kerana, pendidikan muzik adalah salah satu elemen pelengkap atau gabung jalin dengan subjek lain yang dapat meningkatkan kreativiti, fokus, emosi dan keyakinan untuk mengenali, memahami serta menterjemah perasaan dan bahasa dari tubuh badan murid. Justeru, wajarlah muzik diajar secara meluas di sekolah,” ulasnya.

Cikgu Mohd Al Hafidz Hassan

Sambung Cikgu Mohd Al Hafidz lagi, bakat terpendam murid-murid begitu terserlah dalam mata pelajaran tersebut.

IKLAN

“Sepanjang 15 tahun menjadi guru, saya melihat perkembangan dan bakat murid sangat hebat. Ada yang pernah berada di pentas antarabangsa, muncul di televisyen dengan bakat seni muzik yang hebat, berdakwah melalui seni muzik menjadi guru muzik, dan sebagainya.

“Sewaktu murid-murid di alam belajar pula, saya melihat ramai yang berkeyakinan tinggi serta kreatif untuk tampil di khalayak ramai dengan bantuan Pendidikan Muzik di sekolah,” terangnya.

Persembahan Royal City Teachers Band yang disertai Cikgu Mohd Al Hafidz dan rakan-rakan pada program Misi 60 Hari Menjelang SPM 2020 di NTV7, baru-baru ini.

 

Ditanya tentang masa depan murid-murid yang serius dalam dunia muzik, Cikgu Mohd Al Hafidz berkata, masa depan mereka cukup cerah.

“Dunia muzik itu sangat luas dan boleh saya katakan ia seperti sebuah industri di mana seluruh organisasi di dalam dunia muzik itu mempunyai kaitan yang sangat rapat.

“Contohnya seperti penerbitan, pengarah muzik, komposer, penulis lirik, pemain muzik, jurutera audio, guru muzik, dan peniaga alatan muzik.

“Semua ini memerlukan kepakaran dan kemahiran dalam bidang muzik. Ini bermakna, murid-murid yang memiliki ilmu tinggi dalam bidang tersebut akan mendapat peluang yang cerah dalam industri berkenaan,” ujarnya sebelum mengakhiri bicara.

Pelajar bidang muzik didedahkan dengan pelbagai aspek pendidikan muzik ketika di universiti.

Senarai Sekolah Muzik di Malaysia
Sekolah Seni Malaysia Johor (SSeMJ), Johor
Sekolah Seni Malaysia Sarawak (SSeMS), Kuching, Sarawak
Sekolah Seni Malaysia Kuala Lumpur (SSeMKL)
Program Pendidikan Seni, SMK Muhibbah, Sg. Siput (U), Perak
Program Pendidikan Seni, SMK Elopura, Sandakan, Sabah

Senarai universiti yang menawarkan program muzik
Universiti Teknologi Mara (UiTM)
Akademik Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA)
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)
UCSI University
Universiti Teknologi Kreatif Limkokwing
Kolej SEGi
Sunway University
Universiti Malaysia Sabah (UMS)
Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS)
Universiti Putra Malaysia (UPM)
Universiti Sains Malaysia (USM)
Universiti Malaya (UM)
Yamaha Academy of Art and Music

Artikel oleh Roshlawaty Raieh dan Nor Azma Muhamat Laila

Artikel Berkaitan

MESTI BACA