Gerbang Aspirasi Generasi Mahir

HomeBuletinPdPR: Pengajaran perlu disesuaikan dengan keadaan pelajar
165,358FansLike
4,980FollowersFollow
629FollowersFollow
17,100SubscribersSubscribe

PdPR: Pengajaran perlu disesuaikan dengan keadaan pelajar

ALOR SETAR: Seorang guru itu perlu kreatif dalam mencari kaedah terbaik dan menukar cara pembelajaran mengikut kesesuaian pelajar, bagi memastikan kejayaan proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), ketika negara masih berhadapan dengan ancaman wabak Covid-19.

Kaedah PdPR secara dalam talian, mungkin dilihat sebagai cara mudah untuk memastikan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) dapat diteruskan, ketika sekolah tidak dibuka untuk PdP secara bersemuka, namun kaedah secara ‘off line’ atau luar talian juga mampu memastikan murid atau pelajar tidak ketinggalan dalam pelajaran.

Bagi Dr Abdul Ghani Jalil, guru subjek Bahasa Melayu di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Payong, Pokok Sena dekat sini, cara pembelajaran PdPR itu perlu disesuaikan, bagi memastikan pelajar terutamanya yang berada di kawasan luar bandar, tidak ketinggalan dalam pelajaran.

“Saya mengajar pelajar Tingkatan Empat dan Lima, dan kebiasaannya saya akan jalankan kelas mengikut jadual waktu yang telah diatur dengan menggunakan aplikasi ‘Google Meet’ atau ‘WhatsApp’,” katanya kepada Bernama di sini, baru-baru ini.

Namun, bagi pelajar yang berhadapan dengan masalah untuk menyertai sesi pembelajaran secara maya, beliau mengambil pendekatan menjalankan PdPR secara luar talian, iaitu pergi ke rumah pelajar dan membawa modul untuk mereka buat.

Abdul Ghani, 46, yang berasal dari Kuantan, Pahang dan sudah 17 tahun berkecimpung dalam bidang pendidikan ini berkata, walaupun sukar untuk mengajar dalam tempoh pandemik ini, dia sentiasa mencari jalan dan cara untuk membantu pelajarnya belajar menggunakan kaedah PdPR ini.

“Sebenarnya banyak cara untuk laksanakan PdPR ini sama ada secara dalam talian atau luar talian.  Kalau pelajar itu minat tengok video, kita boleh buat modul menggunakan aplikasi ‘TikTok’ atau kalau talian internet di rumah mereka perlahan, kita boleh hantar modul berkenaan terus di rumah mereka.

IKLAN

“Carilah cara atau kaedah macam mana sekali pun, asalkan proses PdPR itu berlangsung. Saya juga tidak terlalu suka membebankan pelajar, kerana selain bahasa Melayu mereka perlu belajar subjek lain juga, jadi biasanya saya akan bagi satu atau dua modul sahaja asalkan sukatan dan topik tidak ketinggalan,” katanya.

Abdul Ghani berkata, dalam tempoh PdPR ini juga, guru perlu peka dan tahu apa masalah yang dihadapi oleh pelajar, sekiranya mereka tidak menyertai kelas atau tidak menghantar kerja sekolah yang telah diarahkan, oleh guru masing-masing.

“Kalau pelajar itu senyap, kadang-kadang mereka sendiri tidak faham benda apa yang mereka kena buat, jadi guru perlu mendekati pelajar terutamanya yang di kawasan luar bandar, sebab ada masalah-masalah lain yang menyebabkan kaedah PdPR itu kurang berkesan.

IKLAN

“Sukar macam mana sekali pun, saya akan pastikan semua pelajar dapat belajar dengan baik menggunakan kaedah PdPR ini, tidak kisah secara dalam talian atau luar talian, kerana yang paling penting adalah mereka tidak ketinggalan dalam pelajaran,” katanya.

Sementara itu Mohd Azharuddin Shah Yaakap yang merupakan guru Bahasa Melayu dan Pendidikan Muzik di Sekolah Kebangsaan Mergong di sini berkata, selain menggunakan medium aplikasi seperti Telegram dan WhatsApp untuk PdPR, guru-guru di sekolah itu turut menggunakan kaedah luar talian.

“Guru buat secara luar talian juga, iaitu dengan tinggalkan modul di dalam kotak khas yang diletakkan di hadapan pintu sekolah dan akan minta ibu bapa datang ambil. Kalau hantar modul ke rumah pelajar itu tiada sebab kita tidak mahu langgar arahan yang sudah ditetapkan.

“Memang banyak dugaan bila buat PdPR ini, terutamanya dengan murid sekolah rendah sebab mereka sukar beri fokus semasa kelas dalam talian,” katanya.

IKLAN

Guru berumur 38 tahun ini berkata, bagi menarik minat anak muridnya untuk belajar, beliau lebih banyak menggunakan pautan YouTube, kerana ia mempunyai suara dan gambar yang lebih jelas dan menarik.

“Murid-murid usia mereka ini lebih gemar lihat YouTube, jadi kita guna pendekatan ini asalkan mampu buat mereka belajar. Ada juga guru yang ambil inisiatif dengan buat laman YouTube sendiri, untuk ajar murid mereka,” katanya – BERNAMA

 

 

Artikel Berkaitan

MESTI BACA