HomeBuletinLupa kemas kini permohonan UPUOnline, ini risiko yang akan dihadapi lepasan SPM...
165,219FansLike
4,972FollowersFollow
619FollowersFollow
17,100SubscribersSubscribe

Lupa kemas kini permohonan UPUOnline, ini risiko yang akan dihadapi lepasan SPM 2020

SHAH ALAM: Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 berdepan risiko tidak mendapat tawaran ke mana-mana Universiti Awam (UA), Politeknik, Kolej Komuniti dan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) sekiranya gagal mengemas kini pilihan program pengajian masing-masing dalam tempoh yang ditetapkan.

Pengarah Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA, Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Wahi Nordin, berkata pelajar boleh mula mengemas kini pilihan program pengajian masing-masing menerusi UPUOnline yang akan dibuka mulai 12 tengah hari pada 15 Jun ini hingga 5 petang, 21 Jun 2021.

Ujarnya, seperti yang diumumkan KPT melalui kenyataan media pada 10 Jun lalu, tempoh kemas kini boleh dibuat selama tujuh hari membabitkan semua pilihan program pengajian berdasarkan keputusan SPM 2020 kecuali bagi program pengajian yang telah dipanggil temu duga dan/atau ujian.

“Selepas mendapat keputusan SPM 2020 daripada Lembaga Peperiksaan, KPT akan membuat padanan data keputusan dengan pilihan program pengajian yang dibuat oleh pelajar sebelum ini dan mana-mana program yang tidak menepati syarat am dan syarat khas kemasukan akan digugurkan daripada 12 senarai pilihan itu.

“Di sinilah pelajar perlu kemas kini supaya semua 12 senarai pilihan program itu lengkap bagi membolehkan mereka berpeluang mendapat tawaran dari UA, Politeknik, Kolej Komuniti, dan ILKA selepas penilaian dibuat berdasarkan markah merit, kekosongan di universiti dan kelayakan keputusan SPM masing-masing,” katanya kepada GPSBestari, di sini, pada Jumaat.

Pengarah Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA, Jabatan Pendidikan Tinggi, KPT, Wahi Nordin.

Kelmarin, seramai 401,105 pelajar menerima keputusan SPM 2020 secara dalam talian dan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) kerana kekangan pandemik Covid-19 dengan keputusan Gred Purata Nasional (GPN) 4.80, terbaik dalam tempoh lima tahun.

IKLAN

Wahi berkata, bagi pelajar yang telah memilih program mempunyai temu duga tetapi gagal mendapat panggilan daripada mana-mana UA, Politeknik, Kolej Komuniti dan ILKA, mereka boleh mengubah pilihan program yang mempunyai temu duga itu dengan pilihan lain.

Tambahnya, pelajar cuma perlu mengisi atau kemas kini pilihan program temu duga itu dengan pilihan lain yang tidak mempunyai temu duga dan/atau ujian kerana proses itu sudah dilakukan oleh pihak universiti sebelum keputusan SPM 2020 diumumkan.

“Secara ringkasnya, UPUOnline akan membuat tapisan program pengajian yang layak dengan keputusan yang diperolehi pelajar dan hanya menyenaraikan program pengajian yang memenuhi syarat sahaja.

“Mana-mana program yang tidak tersenarai dalam UPUOnline bermaksud pelajar itu tidak memenuhi syarat bagi memohon program tersebut.

IKLAN

“Harus diingatkan juga, meskipun pelajar layak kerana menepati syarat am dan syarat khas program, mereka masih perlu mengambil kira markah merit yang diperolehi berbanding dengan purata markah merit yang diterima masuk untuk setiap program pengajian agar peluang mendapat tawaran adalah lebih tinggi,” katanya.

Data perbandingan bilangan permohonan UPUOnline 2020 dengan 2019 dan 2018.

Menurut Wahi lagi, bagi pelajar yang gagal membuat permohonan melalui UPUOnline untuk kemasukan ke UA, Politeknik, Kolej Komuniti dan ILKA bagi Sesi Akademik 2021/2022 pada 4 Januari hingga 7 April lalu, mereka tidak boleh lagi membuat sebarang permohonan baharu ketika ini kerana ia sudah ditutup.

“Tidak dinafikan, sehingga saat ini masih ada pelajar atau ibu bapa yang bertanya adakah mereka boleh membuat permohonan kerana tidak sempat memohon sebelum ini tetapi sayangnya tiada ada yang dapat kami lakukan kerana permohonan sudah ditutup.

IKLAN

“Oleh itu, saya ingatkan sekali lagi agar pelajar mengemas kini permohonan masing-masing supaya tidak timbul masalah di kemudian hari. Bagi pelajar yang membuat semakan semula keputusan, mereka perlu menggunakan keputusan semasa yang diperolehi bagi mengemas kini program pengajian dalam tempoh yang ditetapkan tanpa perlu menunggu keputusan semakan tersebut,” jelasnya.

KPT akan melaksanakan program JMIPT Virtual 2021 dengan kerjasama (UM).

Wahi berkata, serentak dengan pembukaan fasa pengemaskinian tersebut, KPT akan melaksanakan program Jom Masuk IPT Virtual 2021 (JMIPT Virtual 2021) dengan kerjasama Universiti Malaya (UM), bagi memastikan penyampaian maklumat berkaitan akses pendidikan tinggi tidak terjejas walaupun negara sedang berdepan pandemik Covid-19.

Katanya, JMIPT Virtual 2021 boleh diakses melalui https://jmipt2021.jpt.um.edu.my yang melibatkan penyertaan semua UA, politeknik, kolej komuniti, ILKA, Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Bahagian Biasiswa KPT.

“Program ini terbahagi kepada dua fasa iaitu fasa pertama mulai 15 hingga 21 Jun ini yang dikhususkan kepada pemohon lepasan SPM, manakala fasa dua bermula 8 hingga 12 Ogos depan, khusus untuk pemohon lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) atau setaraf,” ujarnya lagi.

JMIPT Virtual 2021 menyediakan 29 slot webinar, sesi ‘live chat’ serta konsultasi secara berkelompok dan individu oleh pempamer secara maya selain mengekalkan jaringan komunikasi sedia ada iaitu talian Hotline, Sistem Maklum Balas dan emel rasmi sepanjang program berlangsung,” katanya.

Artikel Berkaitan

MESTI BACA