HomeBuletinKembali kepada PdPR. Guru dan murid akan belajar dari rumah 2 minggu...
164,827FansLike
4,964FollowersFollow
603FollowersFollow
17,100SubscribersSubscribe

Kembali kepada PdPR. Guru dan murid akan belajar dari rumah 2 minggu selepas cuti Aidilfitri

Bagi mengelak risiko jangkitan Covid-19 di sekolah, Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin mengumumkan yang sesi pembelajaran selepas cuti Aidilfitri akan diteruskan dengan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) selama dua minggu bagi menggantikan sesi bersemuka di sekolah.

Sesi pembelajaran itu bermula 16 hingga 27 Mei bagi sekolah kumpulan A (sekolah-sekolah di Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu) dan 17 hingga 28 Mei bagi sekolah kumpulan B (sekolah-sekolah di Perlis, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Sabah, Sarawak, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya).

Mohd Radzi berkata, keputusan itu dibuat bagi mengelak kes Covid-19 di sekolah selepas cuti sekolah bagi meraikan perayaan Aidilfitri yang dijadualkan pada 7 hingga 15 Mei bagi sekolah kumpulan A dan 8 sehingga 16 Mei bagi sekolah kumpulan B.

Beliau berkata, selepas tempoh PdPR itu, murid dan pelajar akan menyambung cuti penggal yang bermula 28 Mei sehingga 12 Jun bagi sekolah kumpulan A dan 29 Mei sehingga 13 Jun bagi sekolah kumpulan B.

“Ini sesuatu yang baharu kita belajar. Jika tahun lalu ketika perayaan Aidilfitri sekolah tutup ketika itu, jadi kita tidak tahu data selepas raya macam mana.

“Kita khuatir terutama mereka yang akan pulang ke asrama kerana menjangkakan ada jangkitan yang akan didapati dari luar, jadi kita ambil langkah ini untuk mengawal penularan tersebut kerana selepas perayaan pelajar berada di rumah lebih lama,” katanya pada sidang media di sini pada Isnin.

Bagi murid dan pelajar yang tinggal di asrama sekolah di bawah KPM di seluruh negara, Mohd Radzi berkata, mereka dibenarkan pulang bagi menyambut Ai­dilfitri dan juga akan melalui PdPR da­lam tempoh dua minggu selepas cuti itu.

Sebelum ini takwim sekolah bagi 2021 menetapkan selepas cuti Aidilfitri, pelajar dan murid perlu hadir semula ke sekolah bagi meneruskan sesi pembelajaran selama dua minggu dan bercuti penggal selepas itu.

SOP ketat  

Sementara itu, keadaan jangkitan Covid-19 di peringkat sekolah telah dapat dibendung dengan baik melalui prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan.

IKLAN

Kata Mohd Radzi, SOP berkenaan akan terus ditingkatkan di sekolah-sekolah, namun sekiranya Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Ma­laysia (KKM) menyatakan sebaliknya maka situasi itu akan menjadi berbeza.

“Dari perspektif kami, kami komited untuk memastikan anak-anak ini dapat ke sekolah,” katanya.

Sejak kebelakangan ini, banyak kluster pendidikan direkodkan hingga menyebabkan beberapa sekolah di negara ini ditutup kembali walaupun baru memulakan sesi persekolahan bersemuka awal bulan ini.

Keadaan ini mewujudkan kebimbangan ramai hingga ada pihak mencadangkan penutupan semula semua sekolah bagi mengawal dan mengelak risiko penularan Covid-19.

Mengulas lanjut, Mohd Radzi turut menjelaskan mengenai 99 kluster pendidikan yang di umum oleh KKM.

Menurutnya, kluster yang diumumkan itu adalah meluas dan ianya termasuk institut pengajian tinggi, sekolah di bawah kerajaan negeri, sekolah swasta, tadika dan sebagainya.

IKLAN

“Jadi tidak semua komponen ini di bawah operasi KPM,” tegasnya.

Mohd Radzi berkata, daripada 99 kluster pendidikan itu, hanya 52 kluster membabitkan institusi di bawah KPM dengan melibatkan 2,274 kes.

“Baki 47 kluster pula membabitkan institusi lain dengan jumlah 4,275 kes,” katanya.

Tubuh task force

Dalam sidang medianya juga, Mohd Radzi berkata, cabaran terbesar KPM dalam mengendalikan kes Covid-19 membabitkan murid yang tinggal di asrama.

Beliau berkata, KPM turut menubuhkan satu task force bagi menumpukan usaha terhadap keadaan di asrama penuh dan harian.

Mengulas mengenai statistik kehadiran ke sekolah, Mohd Radzi berkata, ianya adalah sama seperti mana sebelum Covid-19 melanda.

IKLAN

“Kehadiran sebelum Covid-19 datang pada tahun 2020 adalah sekitar 80 peratus ke atas.

“Kehadiran akhir-akhir ini adalah 80.53 peratus. Jadi secara umumnya kehadiran ke sekolah adalah seperti mana kehadiran yang berlaku sebelum Covid-19 datang,” katanya.

Beliau turut melihat bahawa murid-murid juga teruja datang ke sekolah.

“Secara umumnya murid-murid nak ke sekolah dan apabila murid-murid ini ke sekolah, kita lihat guru-guru boleh melihat tahap penguasaan mereka.

“Guru-guru tahu macam mana dalam tempoh yang ada ini untuk mereka membawa murid-murid ini mencapai tahap penguasaan minima. Itu yang dilaksanakan oleh guru-guru apabila sekolah dibuka,” katanya.

Mohd Radzi turut menjelaskan, murid-murid yang tidak mahu datang ke sekolah juga tidak pernah didenda, namun ibu bapa perlu memaklumkan kepada pihak sekolah.

Artikel menarik

‘Saya bimbang anak murid akan ketinggalan’ – Guru luar bandar kongsi pengalaman sukar dilupakan

‘Kenapa tak beritahu cikgu? Kan dah pesan…tak de duit cakap, cikgu boleh bagi’ – Warganet sebak

Artikel Berkaitan

MESTI BACA