Gerbang Aspirasi Generasi Mahir

HomeBuletinBerjaya bantu pelajar SPM capai kecemerlangan dalam peperiksaan, rupa-rupanya ini yang USM...
165,358FansLike
4,980FollowersFollow
627FollowersFollow
17,100SubscribersSubscribe

Berjaya bantu pelajar SPM capai kecemerlangan dalam peperiksaan, rupa-rupanya ini yang USM lakukan

Universiti Sains Malaysia (USM) diberi mandat sebagai pelaksana program oleh pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) untuk membimbing 1,300 orang pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Pulau Pinang.

Menerusi Program empowerNCER Akademik yang yang dilaksanakan NCIA dengan kerjasama USM menerusi Bahagian Jaringan Industri & Masyarakat (BJIM), USAINS dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang itu membabitkan pelajar dari daerah Seberang Perai Tengah, Seberang Perai Utara, Seberang Perai Selatan, Timur Laut dan Barat Daya, Pulau Pinang.

Program yang bermula pada Mac lalu sehingga Oktober 2022 bertujuan untuk meningkatkan dan memperkasakan komuniti melalui akademik sebagai usaha mewujudkan masyarakat yang lebih seimbang dan menyokong konsep inklusiviti dalam mengurangkan jurang kemiskinan pada masa hadapan.

Program ini juga memberi fokus kepada pencapaian akademik pelajar melalui pembangunan kemahiran akademik dan sahsiah pelajar serta turut membabitkan penglibatan ibu bapa dan guru bagi mencapai pembangunan holistik.

Felo Penyelidik Kanan, Bahagian Jaringan Industri & Masyarakat USM merangkap Ketua Program, Profesor Madya (Kehormat) Dr Shaik Abdul Malik Mohamed Ismail berkata, penglibatan pihak USM dari segi kepakaran sumber tenaga profesional dalam kalangan pensyarah dan kaunselor bertauliah telah dimanfaatkan dalam pelaksanaan program ini.

Menurut beliau, pelaksanaan program ini berbeza daripada kaedah pembelajaran di sekolah kerana mengaplikasi konsep Coaches-Coachee yang menggunakan tiga elemen penting iaitu, Pengesanan, Pemulihan dan Pengupayaan (3P) dalam usaha membantu meningkatkan prestasi pembelajaran peserta program.

“Sesi Coaching ini dilaksanakan dalam kumpulan kecil dengan nisbah seorang Coach kepada 12 orang murid (1:12) bagi memastikan sesi pembelajaran lebih efisien dan berfokus.

“Coaches yang terlibat terdiri daripada mahasiswa tahun tiga dan empat USM daripada Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan (PPIP) serta pusat pengajian lain yang mempunyai pengalaman mengajar dan telah mengikut bengkel Jurulatih Bimbingan Akademik.

“Selain daripada fokus kepada bimbingan akademik, Coaches turut mempraktikkan konsep Pembelajaran Emosi Sosial (SEL) bagi memastikan keseimbangan keperluan akademik dan emosi peserta,” katanya.

Tambah beliau lagi, pembelajaran SEL adalah proses mengembangkan keterampilan, sikap, dan nilai-nilai yang diperlukan untuk memperoleh kompetensi sosial dan emosional yang baik.

IKLAN

“Jurang perbezaan umur yang kecil (5 tahun) di antara Coaches dan Coachee juga merupakan salah satu faktor penting kepada keberhasilan program.

“Coaches dibimbing dan dibantu oleh lima orang Penasihat Akademik yang terdiri daripada Pensyarah USM yang pakar dalam bidang masing-masing,” ujarnya.

Program empowerNCER Akademik berbeza daripada kaedah pembelajaran di sekolah kerana mengaplikasi konsep Coaches-Coachee.

Kelainan yang dibawa dalam program ini adalah pengisian kelas Coaching berfokus kepada pemulihan dan pengayaan berbanding pengajaran mengikut topik yang dilaksanakan di sekolah.

Aktiviti latih tubi yang dilaksanakan ini dikukuhkan bersama penggunaan pedagogi yang menarik dan unik untuk membantu peserta mengukuhkan pemahaman dan secara tidak langsung menarik minat peserta sehingga program tamat.

Program yang mendapat sokongan penuh Kementerian Pendidikan (KPM) ini berjaya membantu pelajar dalam kalangan B40 meraih keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM yang lepas hasil daripada sokongan penuh dan rakan kolaboratif strategik iaitu Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang, Pejabat Daerah dan Tanah Pulau Pinang serta pengurusan sekolah yang terlibat.

IKLAN

Hasil daripada pendekatan dan keunikan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) yang dilaksanakan dalam program yang mendapat sokongan penuh KPM ini, kesemua peserta program sebelum ini memperoleh pencapaian yang amat memberangsangkan dalam SPM 2020.

Kesemua peserta program layak mendapat sijil SPM (lulus keseluruhan) dan seramai 30 orang peserta program memperoleh keputusan 5A ke atas dengan pencapaian tertinggi 10A dan peratusan peningkatan keseluruhan Gred Purata Murid (GPM) sebanyak 83 peratus.

Pihak USM turut membantu dalam usaha untuk memastikan peserta program mendapat tempat di peringkat pengajian seterusnya dengan melaksanakan beberapa siri Bengkel Hala Tuju Kerjaya.

Peserta program dibimbing sepanjang proses untuk menentukan pemilihan hala tuju pengajian seterusnya. Hasilnya, seramai 152 orang atau 50.7 peratus peserta program berjaya menerima tawaran UPU dengan pecahan seramai lima orang melanjutkan pelajaran ke peringkat asasi, 85 (diploma) dan 62 (sijil).

Selebihnya 148 orang peserta yang tidak mendapat tawaran UPU, pihak USM telah mengambil beberapa inisiatif strategik untuk membantu memastikan kesemua peserta program mendapat tempat untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat seterusnya.

IKLAN

Gambar hiasan daripada Pexels.

Hasil perbincangan bersama JPN Pulau Pinang dan Timbalan Rektor Universiti Teknologi MARA (UiTM) Pulau Pinang, seramai 130 orang peserta program ditawarkan untuk menyambung pengajian ke UiTM melalui saluran khas.

Baki 18 peserta lagi berpeluang menyambung pengajian ke peringkat prauniversiti. Justeru, hasil daripada inisiatif yang telah diambil, kesemua peserta program berjaya ditawarkan tempat untuk menyambung pengajian bagi menjamin masa hadapan mereka.

Sementara itu, Ketua Coaches, Nang Sofwatun Najwa Nek Ali berkata, penglibatan dia dalam program ini telah banyak membantu mempersiap dan melatih diri untuk menjadi seorang guru.

Katanya, kaedah pembelajaran dalam talian bukan suatu perkara yang mudah namun dengan bimbingan daripada Penasihat Akademik USM, pelbagai cara dan teknik mengajar telah beliau kuasai.

Pelajar SPM 2021 dari Sekolah Menengah Kebangsaan Machang Bubuk, Bukit Mertajam, Muhammad Asyraf Amir pula berpendapat kelas yang dianjurkan menerusi Program empowerNCER Akademik ini amat berharga kerana memberi peluang kepada dirinya untuk belajar benda baharu.

“Saya sangat seronok ketika proses pembelajaran. Kaedah pengajaran menarik dan unik yang digunakan oleh Coaches amat membantu dalam pembelajaran saya,” kongsinya.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bakti, Tasik Gelugor, Shuhada Muhamad Rasidi, berkata, dia amat tertarik dengan kaedah pengajaran interaktif dan menarik yang digunakan oleh Coaches semasa proses pembelajaran.

“Layanan dan kaedah pengajaran menarik seperti video dan permainan yang digunakan oleh Coaches dalam proses pembelajaran membuatkan saya dan rakan-rakan tidak bosan serta sangat mudah untuk difahami,” tuturnya.

Artikel Berkaitan

MESTI BACA