HomeBuletinBakal guru perlu ada empat kualiti
165,219FansLike
4,972FollowersFollow
619FollowersFollow
17,100SubscribersSubscribe

Bakal guru perlu ada empat kualiti

Oleh NAZRIN ZULKAFLI

SHAH ALAM – Pada Jun lalu, Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin mengumumkan bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan membuat pengambilan khas guru secara ‘one-off’ bagi mengisi kekosongan guru di seluruh negara terutama di Sabah, Sarawak, Johor dan Selangor.

Pengambilan itu membabitkan sejumlah 18,702 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan gred DG41 yang diiklan pada 7 Julai, manakala penempatan secara berperingkat bermula pada Oktober nanti.

Katanya, usaha berkenaan adalah perancangan KPM bawah Pelan Pemulihan Negara yang sebelum ini diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ketika ini KPM berdepan cabaran kekurangan calon guru dari Institut Pendidikan Guru (IPG) selain ketidaksepadanan opsyen mata pelajaran.

Dr Radzi ketika pengumuman itu berkata, kekurangan guru bagi negeri-negeri terlibat membabitkan sekolah rendah dan sekolah menengah khususnya dalam mata pelajaran tertentu seperti Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu dan Pendidikan Agama Islam.

Pengambilan menerusi kerjasama Jabatan Perkhidmatan Awam dan Suruhanjaya Perkhidmatan Perguruan (SPP) itu akan mengutamakan graduan pendidikan sama ada daripada lepasan universiti awam, swasta atau luar negara.

Ia juga akan diperluaskan kepada graduan bukan ikhtisas pendidikan melalui kepelbagaian kaedah pelantikan pada fasa berikutnya sekiranya masih terdapat kekosongan yang tidak dapat ditampung oleh graduan pendidikan.

Asas kualiti

Mengulas perkara itu, Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad berkata, empat kualiti utama perlu ditekankan oleh graduan sebelum menjadi seorang pendidik bagi memastikan murid-murid mendapat kualiti pembelajaran pada tahap yang maksimum.

Dr Anuar Ahmad

Menurutnya, kriteria itu termasuk dari segi minat, sifat kasih sayang kepada pelajar, mempunyai kandungan yang baik dan berkemahiran tinggi.

IKLAN

Kesemua kriteria tersebut diperlukan bagi menjadikan sistem pendidikan negara sentiasa berada pada tahap yang terbaik dan pelajar mendapat manfaat daripada pengajaran itu.

“Calon yang mohon kena ada minat dan minat ini bukan sebab dia tiada kerja lain dan terpaksa menjadi cikgu. Minat perlu datang dari hati dan perasaan serta suka untuk mengajar.

“Selain itu, kena ada sifat sayang, suka dan kasihan kepada murid-murid. Sifat kasih saya amat penting agar murid tidak didera dan terdera,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Menyentuh tentang isi kandungan, katanya  guru mestilah seorang yang berpengetahuan tinggi agar menepati ilmu yang hendak disampaikan.

Di samping itu, kemahiran dan kreativiti ketika mengajar penting bagi seorang guru agar dapat mengajar dengan cara yang betul serta dapat mengendalikan pelajar sebaik mungkin.

Malah katanya,  seseorang guru itu perlu fleksibel dalam kaedah pengajarannya mengikut situasi semasa.

“Kaedah mengajar ditentukan oleh guru mengikut keadaan. Tiada satu kaedah yang tepat dan terbaik tetapi kaedah mengajar banyak dan luas.

“Ia bergantung kepada siapa pelajar kita,  kelas pandai atau kelas lemah, pelajar di bandar, kampung atau pedalaman. Semua ini mempunyai kaedah tersendiri.

“Seorang guru kena fleksibel. Tak boleh kata semua kaedah sama. Sebab itu ada pelajar berjaya dan yang tak berjaya bukan tidak pandai, tapi dia tak terima apa yang diajar,” ujarnya.

IKLAN

Beliau menyambut baik dan bersetuju usaha KPM untuk memberi laluan utama kepada graduan pendidikan terlebih dahulu, manakala  graduan bukan pendidikan diberi tempat jika masih terdapat kekosongan.

Jelasnya, ini kerana pelajar graduan pendidikan telah diajar dan dilatih untuk menjadi guru dengan baik selama empat tahun.

“Tindakan mengutamakan graduan pendidikan adalah wajar kerana  graduan ini faham tentang pendidikan, sistem  persekolahan dan calon yang dilatih untuk memahami pelajar.

“Mereka juga diajar teknik mengajar, menggunakan teknologi dalam pendidikan, melaksanakan penilaian dalam pendidikan, memahami psikologi murid-murid dan pengetahuan kawalan kelas.

“Banyak perkara khusus yang telah mereka pelajari untuk menjadi guru. Jika kita ambil graduan bukan pendidikan kemungkinan isi kandungan dan kemahiran mereka tidak sama seperti graduan pendidikan,” katanya.

Selain itu katanya, negara kini berada dalam tahap kurikulum yang tinggi dan memerlukan tenaga pengajar yang cekap untuk bergerak seiring dengan era itu.

“Awal tahun 70-an dan 80-an kita mempunyai andaian bahawa sesiapa sahaja boleh menjadi guru kerana waktu itu kurikulum lebih mudah.

“Berbeza dengan sekarang tahap kurikulum kita semakin tinggi. Jadi, kita perlukan  guru yang dilatih dalam opsyen ini. Dia mesti dilatih dalam mata pelajaran tersebut.

“Dalam sistem pendidikan negara, Seorang guru bukan dilatih untuk mengajar subjek tertentu sahaja, tetapi diserap ilmu untuk mendidik.

IKLAN

“Kalau asyik nak kejar A, lebih baik buat sistem tuisyen. Bukan tujuan sekolah nak melahirkan pelajar yang begitu, matlamatnya ialah mendidik pelajar menjadi seorang yang bermoral dan berkualiti,” katanya.

REAKSI GRADUAN

“Saya sanggup menjadi tenaga pengajar pada waktu sukar ini. Saya akan persiapkan diri dalam norma baharu.  Sebagai bakal kaunselor, walaupun dalam keadaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) saya merancang pelbagai program untuk pelajar. Walaupun bukan kaunseling secara bersemuka, saya akan sentiasa memberikan yang terbaik.” – Graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Bimbingan dan Kaunseling, UPSI, Vanessa Mariam Lawrence, 25.

Vanessa Mariam Lawrence

“Bakal guru kena selalu bersedia menghadapi cabaran kerana ini amanah dan tanggungjawab. Saya kena mahirkan ilmu IT bagi menarik minat murid dengan cara penyampaian yang lebih mudah, menarik dan kreatif. Penggunaan platform yang kompleks akan menyusahkan pelajar untuk menyertai kelas.” – Graduan Ijazah Sarjana Muda pendidikan Sukan dan Rekreasi, UKM, Muhammad Luqman Abd Raman, 24.

Muhammad Luqman Abd Raman

“Saya sangat bersedia untuk menghadapi sebarang cabaran dalam dunia pendidikan pasca pandemik. Saya memang minat bidang perguruan sejak zaman persekolahan lagi. Saya perlu bijak mencari peluang dan mencetuskan idea baharu untuk mengajar murid-murid. Saya akan seimbangkan pelajaran kepada mereka yang susah mendapat akses internet.  Contohnya, bersedia dengan video pengajaran yang telah direkod awal.” – Graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Awal Kanak Kanak, UPSI, Mohamad Ameer Haziq Abd Halim Alam Shah, 26.

Mohamad Ameer Haziq Abd Halim Alam Shah

“Dunia pendidikan kini semakin moden dan berteknologi selaras dengan IR4.0. Saya harus selarikan pendidikan dengan perkembangan terkini. Saya akan menggabungkan pembelajaran dalam talian dan kendiri. Menyediakan tutorial, game, modul dan aktiviti eksplorasi. Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) tidak perlu berjalan secara formal, ia harus diselangi dengan aktiviti pembelajaran santai supaya murid dan guru tidak stres.” – Graduan ISMP Pendidikan Awal Kanak Kanak, UPSI, Maisarah Mohd Alim, 24.

Maisarah Mohd Alim

 

Artikel Berkaitan

MESTI BACA